Kerusi Parlimen Kuala Langat kekal ditandingi UMNO-Noh




BANTING, 18 April (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar memberi jaminan bahawa kerusi Parlimen Kuala Langat akan kekal ditandingi oleh calon daripada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Biarpun tewas kepada calon PKR pada dua pilihan raya sebelum ini, katanya, kerusi tersebut tetap menjadi kerusi tradisi UMNO pada PRU14.

Noh, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini ketika mengulas desas-desus kononnya terdapat calon daripada parti komponen BN lain akan bertanding di kerusi tersebut.

Pada PRU12 pada 2008, Abdullah Sani Abdul Hamid dari PKR mengalahkan calon BN dari UMNO, Datuk Sulaiman Mohd Karli, yang mengantikan penyandang selama tiga penggal, Datuk Seri Dr Shafie Salleh, dengan majoriti 989 undi.

Pada PRU13 pada 2013, Abdullah Sani mempertahankan kerusi tersebut dengan mengalahkan Kapten (B) Sharuddin Omar (BN-UMNO)) dan calon Bebas, S. Kottappan dengan majoriti 5,358 undi.

Dalam pada itu, Noh mengingatkan pemimpin dan anggota parti supaya tidak menghebahkan diri mereka sebagai calon sebelum keputusan berhubung perkara itu dibuat oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

-- BERNAMA