UMNO yakin pengundi DUN Sungai Tiang, Parlimen Pendang pilih BN
PENDANG, 18 April (Bernama) -- UMNO Pendang yakin dapat memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang dan Parlimen Pendang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata, ia berdasarkan 'track record' yang ditunjukkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selama ini dalam merasai 'denyut nadi' rakyat keseluruhan.
"Selain itu kita melihat calon-calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Sungai Tiang iaitu Abdul Razak Khamis calon PH di Parlimen Pendang, Wan Saiful Wan Jan tidak mempunyai rekod perkhidmatan dan bagi saya, ini adalah permulaan kejayaan untuk BN."
"Namun jentera BN tidak boleh ambil mudah dan perlu terus bekerja keras untuk mencapai kemenangan besar di kedua-dua kawasan itu disamping menawan DUN Tokai," katanya kepada Bernama pada Program Turun Padang di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Genting di sini, hari ini.
Suraya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat negeri turut menyampaikan kotak makanan Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) kepada sebahagian pengundi di sekitar PDM itu.
-- BERNAMA