Pilih kerajaan terbaik demi kesinambungan pembangunan rakyat




KANGAR, 18 April (Bernama) -- Rakyat diingat agar tidak memilih kerajaan berdasarkan persepsi atau emosi, sebaliknya membuat pilihan terbaik demi memastikan kesinambungan projek-projek pembangunan yang telah dirancang, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata dalam konteks negeri misalnya, pelbagai projek mega bakal dibangunkan yang menyentuh segenap lapisan masyarakat antaranya kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Jeti Bersepadu Sanglang (JBS) dan Pembangunan Lembangan Sungai Perlis (PLSP).

"Kalau rakyat membuat keputusan untuk tidak memilih Barisan Nasional (BN) untuk bentuk kerajaan, ini semua akan diubah ikut acuan mereka (pembangkang) sendiri."

"Mereka hendak batalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mana nak datang sumber untuk projek-projek besar ini? Saya tak yakin pembangkang akan meneruskan usaha-usaha ini," katanya kepada pemberita selepas program Ramah Mesra Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) bersama badan bukan kerajaan (NGO) di sini, hari ini.

Katanya oleh itu sangat penting bagi rakyat membuat penilaian bijak agar segala perancangan dan pembangunan yang dirangka selama ini dapat diteruskan demi kemajuan negeri.

Sementara itu Timbalan Presiden Mubarak Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman berkata mana-mana wakil rakyat yang tidak tercalon pada pilihan raya umum ke-14 harus mengekalkan komitmen kepada parti dan ingat tujuan sebenar mereka menyertai parti politik.

"Sama ada terpilih bertanding atau tidak, sepatutnya mereka harus percaya kepada perjuangan parti dan tidak menjadi seorang yang pentingkan diri sendiri," katanya.

-- BERNAMA