Kenyataan penuh Pengerusi SPR mengenai hasrat PH guna lambang PKR pada PRU14

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Berikut adalah kenyataan penuh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang dikeluarkan hari ini berhubung hasrat Pakatan Harapan mengguna pakai simbol atau lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Isu Penggunaan Simbol PKR Oleh Calon-Calon Parti Pembangkang
1. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjelaskan bahawa ia tiada halangan terhadap hasrat pihak pembangkang untuk mengguna pakai simbol/lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang kerana adalah jelas seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini bahawa kebenaran untuk mana-mana calon yang akan bertanding atas tiket PKR serta menggunakan simbol PKR adalah tertakluk kepada kebenaran oleh pihak PKR sendiri bukannya oleh SPR.
2. Namun SPR mengingatkan bahawa bagi tujuan untuk mengambil bahagian dalam PRU14, parti-parti politik mestilah merupakan parti yang didaftarkan dan dibenarkan menjalankan segala aktivitinya di bawah Akta Pertubuhan 1966. Manakala bagi mana-mana parti politik yang bersetuju untuk membenarkan mana-mana bakal Calon yang bertanding mewakili parti politik berkenaan diminta membawa surat kebenaran bertulis.
3. Kebenaran bertulis itu mestilah ditandatangani oleh Pegawai Parti yang bertanggungjawab membenarkan Calon itu menggunakan simbol parti tersebut selaras dengan Peraturan 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981. Mana-mana Calon yang tidak mendapat kebenaran secara bertulis daripada parti yang ingin diwakilinya, sekiranya layak untuk bertanding maka Pegawai Pengurus akan memperuntukkan kepadanya suatu simbol yang sedia ada yang telah ditetapkan sebagai ganti.
4. SPR menegaskan, selagi mana syarat dipatuhi, individu tersebut adalah layak untuk mewakili mana-mana Parti yang telah memberikan kebenaran bertulis tersebut. Tiada dalam peruntukan yang menyatakan bahawa ahli parti hanya boleh mewakili partinya sahaja dalam PRU dan SPR tidak pernah menghalang selagi mana Peruntukan dalam Perkara 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 tersebut dipatuhi sepenuhnya.
5. Peraturan dan garis panduan lengkap mengenai penggunaan logo dan bahan kempen akan dikeluarkan dalam masa terdekat oleh SPR bagi memperjelaskan kepada semua pihak-pihak yang berkepentingan.
Sekian dan terima kasih.
TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)
-- BERNAMA