2,000 pasang cermin mata diagihkan percuma kepada penduduk PDM Rantau




SEREMBAN, 18 April (Bernama) -- Sebanyak 2,000 pasang cermin mata diagihkan secara percuma kepada penduduk di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rantau pada satu majlis di sini, hari ini.

Menteri Besar merangkap pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia bagi membantu mereka yang mengalami masalah penglihatan serta kurang berkemampuan.

"Dahulu kita pernah membuat kajian dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) yang mendapati ramai penduduk menghadapi masalah penglihatan terutama warga emas yang tinggal di kawasan kampung. Bantuan seperti ini memberi manfaat besar kepada penduduk terutama golongan di kawasan luar bandar yang memerlukan.

"Kos untuk membuat cermin mata bukannya murah dan kita memberikan bantuan ini untuk meringankan beban kewangan mereka kerana biasanya kos untuk membuat cermin mata mencecah RM400 dan ke atas. Maka atas inisiatif BN, penduduk yang memerlukan cermin mata tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk membeli cermin mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Kelab Tuanku, Mambau dan Kampung Bemban, di sini. Turut hadir pengarah Operasi Pilihan Raya Parlimen Rembau Datuk Azman Hasan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban dan Nilai Datuk Abdul Halim Abdul Latif.

Pada majlis itu, Mohamad yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan turut beramah mesra dengan kira-kira 1,000 penduduk setempat.

-- BERNAMA