Sengit di tiga kerusi DUN dalam Parlimen Arau




Oleh Zainal Abdul Jalil

ARAU, 18 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) dijangka mudah mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), namun bagi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu, tiga daripadanya dijangka berlaku 'pertarungan sengit'.

BN agak selesa di DUN Pauh dan DUN Tambun Tulang yang dimenangi dengan keputusan yang baik pada PRU lepas dan PRU12 tetapi tiga lagi kerusi - Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang agak 'panas' buat BN.

Pada PRU13, BN hanya menang majoriti 927 undi di Guar Sanji dan 85 undi di Simpang Empat manakala Sanglang sudah menjadi milik PAS sejak PRU12.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang bertanding kali pertama di DUN Pauh pada 2013 mengatasi calon PAS, Idris Yaacob dengan majoriti 1,382 undi. Di DUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim pula memperoleh 5,286 undi mengalahkan Azhar Ameir (PKR) yang mendapat 2,805 undi.

"Berdasarkan perkembangan semasa, BN seharusnya lega kerana Azlan dan Ismail diterima baik oleh penyokong BN selain mereka dapat diterima oleh pengundi dan penyokong PAS," menurut seorang pemerhati politik yang enggan dikenali.

Katanya BN harus memberi perhatian kepada kerusi DUN Guar Sanji yang disandang bekas anggota Exco kerajaan negeri Jafperi Othman dan DUN Simpang Empat yang diwakili Nurulhisham Yaacob berikutan majoriti diperoleh BN pada PRU12 dan PRU13 sangat rendah.

Bagi DUN Sanglang, pertandingan antara BN dan PAS dijangka paling sengit. PAS mengalahkan BN dengan majoriti 47 undi pada 2008 dan mempertahankannya sekali lagi pada 2013 dengan majoriti 121 undi.

PAS dijangka mengekalkan Pesuruhjaya Negeri, Mohd Shukri Ramli di Sanglang yang mengalahkan calon BN, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya pada 2013.

Beliau berkata bagi kerusi Parlimen Arau, sokongan diterima BN berikutan penyandangnya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan Ketua UMNO Bahagian Arau masih kuat pengaruhnya di kawasan itu.

"Shahidan sangat dekat dengan pengundi berbanding parti-parti lawan khususnya PAS...tiada tokoh yang menonjol selepas kematian Dr Haron (bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din) manakala kehadiran PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak menampakkan kesan. Mana nak menonjol kerana di Arau tiada isu tempatan."

"Isu nasional mungkin ada sedikit kesan tetapi impak parti-parti ini selain PAS langsung tidak menjejaskan BN," katanya.

Pada PRU13, Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menang kerusi Parlimen Arau dengan majoriti 1,371 undi setelah memperoleh 19,376 undi mengatasi Haron yang mendapat 18,005 undi. Pada PRU12, Ismail yang juga adik Shahidan hanya menang dengan majoriti 300 undi ke atas Haron.

Ada berpendapat masalah BN di tiga kerusi panas itu adalah kerana tidak menonjolkan lebih awal muka baharu atau pelapis kerana penyokong-penyokong parti kurang gemar dengan calon 'payung terjun' di samping UMNO tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya kepada penyandang jawatan.

Veteran UMNO Perlis, Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar pula berkata BN tidak boleh tersalah pilih dan meletak calon terutama di kerusi DUN Sanglang, Guar Sanji dan Simpang Empat jika mahu mengekalkan kemenangan dan merampas kerusi yang tewas dalam Parlimen Arau.

"Karektor dan sentimen pengundi (orang kampung) di Perlis terhadap anak tempatan adalah tinggi. Mereka lebih selesa dengan anak tempatan yang mesra dan mudah dirapati," kata bekas Speaker DUN Perlis itu.

Menurut beliau, pengundi yang tidak suka kepada calon berkemungkinan besar mengundi calon lawan kerana undi protes itu terbukti berlaku di Sanglang pada 2008 dan 2013 yang menyebabkan BN tewas walaupun PAS tidak kuat.

Katanya BN hendaklah mengambil kira kehendak pengundi dan penyokong parti jika mahu menang dengan selesa pada PRU kali ini termasuk untuk merampas DUN Sanglang.

-- BERNAMA