Penduduk Tanjung Aru masih perlukan BN





Oleh Noorazlina Jindeh dan Jennifer Tugung Michael

KOTA KINABALU, 19 April (Bernama) -- Setelah tiga penggal Barisan Nasional (BN) menerajui kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru dan mampu membawa perubahan, penduduknya berharap kesinambungan parti itu akan terus mendapat mandat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Penduduk kampung Tanjung Aru Baru, Awang Ekah Jalani, 65, berkata Tanjung Aru yang terletak di pinggiran bandar raya Kota Kinabalu kini melalui proses pembangunan dan menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara kerana kedudukannya berhampiran tepi pantai, khususnya Taman Prince Philip.

Awang Ekah berkata kemajuan itu adalah hasil kerjasama baik antara pemimpin dan penduduknya di kawasan itu yang boleh menerima arus perubahan serta pembangunan.

"Kami (penduduk) berharap kepimpinan yang ada sekarang ini akan dapat dikekalkan di samping menambah baik lagi perkhidmatan kepada rakyat.

"Kami tiada masalah walaupun penduduk di sini berbilang bangsa, masih boleh bertemu dalam setiap majlis keramaian," katanya kepada Bernama.

Bagi pekerja swasta Sabrina Sitawin, 40, beliau turut mengakui pembangunan yang dibawa kerajaan di kawasan berkenaan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat seperti wujudnya Plaza Tanjung Aru, Perdana Park dan hotel bertaraf lima bintang.

Ibu kepada empat cahaya mata itu yakin pembangunan yang terdapat di Tanjung Aru akan dapat diteruskan jika kerajaan BN terus menerajui kawasan itu.

"Setiap calon dari mana-mana parti ada kelebihannya tetapi parti yang diterajui kerajaan selama ini telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dan juga negara," katanya yang berasal dari Tuaran.

Syafiqah Hassan, 28, pula mahu wakil rakyat di kawasan itu di masa akan datang adalah daripada kerajaan yang stabil dan mendengar suara rakyat.

"Kami mahu pemimpin yang mendengar suara kami, berjumpa dengan rakyat dan tahu apa yang rakyat mahukan," katanya.

Tanjung Aru dan Petagas merupakan DUN di bawah kawasan Parlimen Putatan yang juga merupakan kubu kuat BN.

Pada pilihan raya umum ke-13, calon BN Datuk Edward Yong Oui Fah memenangi kerusi DUN Tanjung Aru dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 3,690 undi, menewaskan pencabar terdekat, Hamid Ismail daripada PAS yang mendapat 5,409 undi.

Calon lain, Salleh Tiaseh daripada Parti Reformasi Sabah (STAR) memperoleh 750 undi dan Yong We Kong daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dengan 1,333 undi.

-- BERNAMA