Mengurangkan beban perjalanan sumbangan Najib kepada penduduk Limbang

Gambar fail
Oleh Rudy Rukimin Rambli
LIMBANG, 19 April (Bernama) -- Bandar Limbang yang terkenal dengan ikan salai yang dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai 'ikan tahai' merupakan satu-satunya bandar di negara ini yang memerlukan pasport jika hendak berkunjung ke sini menerusi jalan darat.
Ini kerana bandar yang kecil dan tenang ini terhimpit oleh dua perbatasan Brunei tanpa jalan alternatif dalam kawasan sempadan untuk laluan rakyat tempatan kecuali menerusi laluan udara yang dikendalikan oleh Maswings.
Pemanduan ke Lawas dari Limbang yang mengambil masa antara 30 minit hingga satu jam perlu membawa pasport dan begitu juga jika memandu selama dua jam dari Limbang ke bandaraya Miri kerana kedua-dua destinasi perlu melintasi perbatasan Brunei.
"Keadaan itu menyebabkan seolah-olah kali tinggal di planet berlainan," Kata Pengerusi Persatuan Melayu Limbang Mohamad Abu Bakar kepada Bernama.
Berikutan itu , beliau berkata setiap anggota keluarga di Limbang perlu mempunyai pasport kerana lebih murah menggunakan jalan darat untuk ke daerah Lawas yang berada dalam bahagian Limbang dan ke Miri berhampiran sempadan Sabah.
"Menggunakan pesawat Maswings agak mahal kerana memerlukan RM175 untuk penerbangan sehala ke bandaraya Miri sungguhpun penerbangan hanya mengambil masa setengah jam," katanya.
Mohamad yang berusia 66 tahun bagaimanpun menarik nafas lega apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil inisiatif mengurangkan beban kewangan dan sosial penduduk dalam bahagian Limbang.
"Apabila Najib mengambil alih sebabgai Perdana Menteri dalam tahun 2009 dua inisiatif telah beliau laksanakan iaitu mengurangkan bayaran bagi pasport terhad ke Brunei daripada RM150 kepada RM50 pada 2011 dan memanjangkan tempoh operasi pemeriksaan di sempadan pada 2015," katanya.
Untuk rekod, sejak 1 Sept 2015 waktu operasi pemeriksaan di perbatasan Malaysia-Brunei di keempat-empat Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sungai Tujuh Miri , Tedungan (Limbang), Pandaruan (Limbang) dan Mengkalap (Lawas) telah dilanjutkan daripada 6 pagi ke 10 malam kepada 6 pagi sehingga tengah malam.
Sehubungan itu Mohamad berharap Perdana Menteri akan melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi mereka yang tinggal di kawasan perbatasan Malaysia-Brunei seperti membuka sempadan kepada 24 jam.
"Kami berharap ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan kerana langkah ini akan memacu pertumbuhan ekonomi di bahagian Limbang," katanya.
Bagi Penolong Menteri Pertanian Negeri Dr Abdul Rahman Ismail lebih banyak dapat dilakukan bagi melancarkan perjalanan di perbatasan Malaysia-Brunei.
"Mungkin selepas ini kerajaan pusat dapat menimbang kemungkinan melancarkan perjalanan di kawasan pemeriksaan dengan mengecop pasport cuma sekali yang akan mengurangkan waktu menunggu di tempat pemeriksaan.
Dr Abdul Rahman yang merupakan anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Kota, salah satu DUN di dalam kawasan Parlimen Limbang berkata kini mereka perlu mengecop pasport ketika melalui dikeempat-empat pusat pemeriksaan sebelum meintasi sempadan.
Beliau berkata ini menyumbang kepada kesesakan trafik selama empat hingga lima jam di pusat pemeriksaan terutama ketika musim cuti sekolah, musim perayaan dan cuti umum.
"Dengan adanya hubungan akrab antara Malaysia-Brunei, cadangan mewujudkan perjalanan lancar itu tentu dapat dipertimbangkan pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata menerusi langkah itu kedua-dua negara akan mendapat manfaat dan bekerjasama bagi membangunkan sektor pertanian dan pelancongan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Limbang Untong Tambi pula berkata di samping meringankan beban perjalanan kerajaan pusat telah melaksanakan pelbagai inisiatif kepada penduduk Limbang.
"Sebagai contoh kami telah menerima bantuan enjin bot, dana untuk membaiki rumah dan elaun daripada kerajaan," katanya.
Beliau mencadangkan kepada kerajaan pusat supaya menimbangkan bantuan dana kepada golongan nelayan untuk membina rumah yang yang lebih besar yang mengandungi tiga bilik atau lebih.
"Ini adalah untuk keluarga generasi kedua nelayan di bahagian Limbang dan kami berharap kerajaan pusat dapat membantu," katanya.
-- BERNAMA