Jangan pasang bendera parti pada tiang elektrik - TNB




KOTA BHARU, 19 April (Bernama) -- Jentera parti politik yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diingat agar tidak memasang bendera di kabel ataupun konduktor yang berada di puncak tiang elektrik bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan Datuk Yuslan Md Yusoff berkata ini kerana renjatan elektrik mungkin berlaku ketika pemasangan bendera dilakukan di tiang-tiang elektrik.

"TNB Kelantan turut melarang pemasangan bendera di kawasan larangan terutamanya di pencawang elektrik, sesalur atas voltan rendah dan voltan tinggi serta peti pembekal tenaga.

"Ini bagi mengelakkan berulangnya kejadian renjatan elektrik sehingga mengakibatkan kematian kepada dua orang lelaki ketika sedang menggantung bendera di Tanah Merah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata TNB Kelantan akan menghubungi wakil parti politik untuk memberi peringatan dan panduan kepada mereka bagi mengelak sebarang kemalangan akibat renjatan elektrik daripada berlaku.

"Kita akan minta kerjasama daripada parti politik untuk menurunkan bendera jika mereka menggantungnya di tempat yang tidak dibenarkan TNB.

"Selain itu, pihak kami akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa berhubung perkara ini," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati 'perang bendera' semakin sengit apabila hampir seluruh kawasan bandar ini sudah dipenuhi bendera parti yang bakal bertanding menjelang PRU14 yang berbaki kurang tiga minggu lagi.

-- BERNAMA