BN masih pilihan penduduk DUN Paginatan

Oleh Rohana Nasrah
RANAU, 19 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) masih diyakini penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan untuk terus memperjuangkan kepentingan dan kebajikan mereka selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Rakyat di kawasan itu juga mahu calon yang dipilih mempunyai kredibiliti untuk menggalas tanggungjawab meneruskan legasi kepimpinan BN dengan pelbagai rancangan pembangunan baharu demi manfaat penduduk.
Seorang pekerja swasta, Addy Julah, 24, berkata calon yang dipilih BN bagi mewakili kerusi DUN itu harus menerapkan kriteria pemimpin terbaik dengan sentiasa turun padang bermesra dengan rakyat setempat.
"Legasi kepimpinan BN di Paginatan ini perlu diteruskan. Kita boleh nampak (BN) ada (membawa) pembangunan termasuk dari segi prasarana sekolah selain bantuan kebajikan diberikan kepada golongan sasar seperti ibu tunggal di kawasan ini. Pemimpin (BN) sentiasa turun padang bertemu rakyat," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Kerusi DUN Paginatan kosong selepas penyandangnya Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Sabah Datuk Siringan Gubat meninggal dunia pada Mac lepas akibat komplikasi jantung.
Mendiang Siringan merupakan anggota Parlimen Ranau sejak 2008, sebelum menjadi ADUN Paginatan pada 2013 setelah mengalahkan calon PKR pada pilihan raya itu dengan majoriti 979 undi.
Seorang lagi penduduk, Majais Gasial, 62, berkata rakyat DUN Paginatan memang menyokong kuat BN, dan BNterus mewakili suara rakyat di kawasan ini.
Beliau berharap pemimpin BN akan terus memberikan tumpuan keperluan rakyat luar bandar termasuk di Paginatan dengan memastikan adanya pembangunan signifikan seperti kemudahan klinik kesihatan bagi keselesaan penduduk di kawasan itu.
"BN mempunyai kemampuan memperbaiki kedudukan ekonomi negara selain komited memastikan masa depan negara lebih cerah demi kestabilan dan kesejahteraan rakyatnya," katanya
-- BERNAMA