Generasi kedua Felda Neram 1 nikmati subsidi rumah RM30,000

Gambar fail
KEMAMAN, 19 April (Bernama) -- Tatkala generasi muda di kawasan lain masih 'bergelut dengan bermacam kepayahan' mahu memiliki rumah sendiri, generasi kedua peneroka Felda Neram 1 di sini pula sangat bertuah kerana bakal memiliki rumah idaman mereka dengan subsidi yang diberi kerajaan Barisan Nasional (BN) sebanyak RM30,000.
Ketua Peneroka Felda Neram 1, Ismail Mohamad berkata sebanyak 105 unit rumah yang dibina melalui Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) itu akan diagihkan dalam masa terdekat.
"Terdapat 60 unit rumah kos sederhana dibina di sini bernilai RM120,000 namun anak peneroka hanya perlu membayar RM90,000 sahaja kerana kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM30,000.
"Bakinya, 45 unit pula ialah rumah kos rendah dijual kepada anak peneroka dengan harga hanya RM60,000 berbanding harga asal RM90,000," katanya kepada Bernama hari ini.
Mengimbas semula pengorbanan peneroka Felda Neram 1 ketika mula dibuka pada tahun 1972, Ismail berkata mereka tidak pernah membayangkan akan menikmati kesenangan hidup seperti yang dikecapi sekarang.
"Bayangkan dahulu, kami datang ke sini bawa barang keperluan asas sahaja...dukung anak-anak kecil dengan niat mahu mengubah kehidupan keluarga dengan bekerja di ladang sawit yang dibuka kerajaan.
"Namun siapa sangka, berkat titik peluh kami dan kebijaksanaan kerajaan yang mengatur pelbagai program untuk kemajuan peneroka Felda, kini kami juga mampu hidup senang seperti orang lain," katanya.
Ismail yang juga anggota Jawatankuasa Perunding Peneroka Malaysia berkata projek perumahan itu menerima lebih 1,000 permohonan daripada anak-anak peneroka di kawasan tersebut kerana lokasinya yang strategik berdekatan Pelabuhan Kuantan dan susur masuk ke Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
"Sebab itu, pada Februari lalu, Felda Properties telah memohon satu lagi kawasan tanah yang sesuai berdekatan Jerangau-Jabor untuk pembinaan lebih banyak projek rumah untuk generasi kedua selepas ini.
"Perancangannya ialah membina 1,000 lagi unit rumah lengkap dengan lot rumah kedai untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi penduduk di kawasan ini...insya-Allah ia akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pengurusan tertinggi Felda," katanya.
-- BERNAMA