SUK Terengganu bakal bertanding Parlimen Kuala Terengganu




KUALA TERENGGANU, 19 April (Bernama) -- Setiausaha kerajaan negeri Terengganu Datuk Wan Nawawi Wan Ismail hari ini mengumumkan bakal bertanding di Parlimen Kuala Terengganu mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengumuman itu dibuat Wan Nawawi di Wisma Darul Iman hari ini, selepas mengetik kad perakam waktu bagi kali terakhir pada 12.45 tengah hari tadi selepas 37 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

"Hari ini merupakan hari terakhir saya di pejabat, tetapi tarikh sebenar saya bersara ialah Ahad ini (22 April). Persaraan saya ini bukan satu pengakhiran kepada kerjaya saya yang sentiasa memberi khidmat kepada rakyat kerana saya telah dipilih untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU14 ini.

"Saya telah dirisik sejak lima, enam bulan lalu oleh pucuk pimpinan parti (BN)...saya menerima semua ini sebagai takdir dan anugerah untuk terus berkhidmat," katanya pada sidang media di sini.

Wan Nawawi berkata dunia politik bukanlah satu perkara asing bagi dirinya kerana beliau telah terlibat secara tidak langsung dalam politik sejak tahun 80-an.

"Saya rasa BN membuat pilihan tepat dengan memilih saya yang tahu selok belok mengenai negeri ini dan pengundi di Kuala Terengganu juga memerlukan seorang yang berpengalaman serta mempunyai hubungan baik dengan kerajaan pusat...mereka(pengundi) juga memerlukan seseorang yang boleh membawa perubahan di kawasan itu.

"Insya-Allah, saya akan gunakan segala pengalaman saya sebagai penjawat awam untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Ditanya samada beliau akan meneruskan legasi penyandang parlimen itu pada PRU12, Allahyarham Datuk Razali Ismail (BN) yang juga penjawat awam, Wan Nawawi berkata Razali dan dirinya berada di kelas yang tersendiri.

"Secara jujur, saya tak dapat dibandingkan dengan arwah kerana beliau berada di kelas tersendiri dan saya berada di kelas tersendiri," katanya yang menerima anugerah tokoh Kepimpinan Sukan daripada Majlis Sukan Negara Mac lalu.

-- BERNAMA