Jangan ulangi peristiwa PRU12 akibat tiada semangat wala' kepada pemimpin

Gambar fail
JERLUN, 19 April (Bernama) -- Semua anggota UMNO perlu menjadikan pilihan raya umum ke-12 (PRU12) pada 2008 sebagai iktibar tentang betapa pentingnya semangat wala' bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 nanti.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, akibat tiada semangat itu, Kedah yang diterajui beliau sebagai Menteri Besar ketika itu juga tewas dan diambil alih parti PAS setelah ada segelintir anggota bertindak mensabotaj parti.
"Insiden ini berlaku kerana (bila) kita tidak terpilih kita sabotaj parti, dan kita sendiri yang rugi kerana bila negeri kalah kepada orang lain pada waktu itu apa pun kita tak dak (dapat)," kata Mahdzir.
Bagaimanapun, beliau yakin dengan pengalaman yang ada di kalangan pemimpin UMNO negeri ini, perbuatan seumpama itu tidak akan dilakukan sebaliknya memberi sokongan padu kepada calon-calon yang diumumkan nanti.
Katanya pilihan raya yang lalu telah memberi banyak pengajaran yang perlu dijadikan garis panduan oleh anggota-anggota UMNO agar calon-calon yang dipilih perlu disokong dan dibantu untuk memenangkannya, katanya kepada pemberita pada Program Tinjauan Mesra Parlimen Jerlun dan Kota Setar di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam di sini hari ini.
"Wala' bermakna kita menghormati keputusan daripada ketua dan itu prasyarat penting dalam perjuangan politik dan bila pemimpin membuat keputusan itu kita mesti hormat keputusan itu.
"Maknanya kita biasa jadi wakil rakyat dan masa itu semua orang sokong kita dan apabila sampai masanya kita tak menjadi wakil rakyat kerana orang lain telah dipilih, kita kena bantu, jangan sabotaj parti dan buat sesuatu yang akhirnya mengalahkan parti sendiri," kata Mahdzir.
Pada majlis itu, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan meluluskan peruntukan berjumlah RM800,000 untuk pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam bagi menggantikan bangunan lama yang mengalami keretakan.
Beliau juga memaklumkan RM15 juta telah diperuntukkan kepada lima Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk projek-projek penyelenggaraan dan pembaikan sekolah dan institusi pendidikan di Kedah.
PPD Kubang Pasu mendapat peruntukan RM2.5 juta, PPD Kota Setar (RM5.2 juta), PPD Kulim (RM2.6 juta), PPD Baling (RM2.2 juta), dan PPD Langkawi ( RM2.5 juta).
"Peruntukan datang dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan bagi pada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk disalurkan kepada PPD untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan untuk menukar bumbung, tukar pintu, menaik taraf kantin sekolah, bilik darjah dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA