Polis Negeri Sembilan kenal pasti 40 kawasan panas PRU14

Noor Azam Jamaludin. (Gambar fail)
SEREMBAN, 19 April (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan mengenal pasti 40 kawasan panas yang perlu diberi perhatian sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketua Polis negeri Datuk Noor Azam Jamaludin berkata polis juga telah mengenal pasti individu yang berisiko menjadi ejen provokasi dan mencetuskan ketegangan semasa perjalanan proses pilihan raya umum nanti.
Polis Negeri Sembilan akan menugaskan 3,700 orang pegawai dan anggota bagi memastikan PRU14 berjalan lancar, katanya kepada pemberita selepas majlis Kempen Derma Darah bersempena Peringatan Hari Polis ke-211 2018 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan calon dan penyokong parti supaya mengikut peraturan dan arahan pihak polis serta patuh kepada undang-undang negara agar tidak timbul ketegangan semasa berkempen.
"Semasa berkempen, saya minta mereka supaya jangan sentuh isu-isu sensitif, perkauman dan keagamaan yang boleh menimbulkan ketegangan. Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan salah-laku dan pelanggaran undang-undang," katanya.
Ketika berucap pada majlis itu, Noor Azam berkata kempen itu merupakan khidmat polis pada masyarakat yang memerlukan bantuan dan selaras dengan konsep polis dan masyarakat berpisah tiada.
"Kempen ini turut diperluaskan di semua IPD di negeri ini. Menderma darah akan dapat menyelamatkan nyawa orang lain yang berada dalam keadaan kritikal,\" katanya.
-- BERNAMA