PRU14: UniSZA beri cuti dua hari kepada pelajar pulang mengundi




KUALA NERUS, 19 April (Bernama) -- Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memberi pelepasan khas kepada pelajar selama dua hari pada 8 dan 10 Mei sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif berkata cuti selama dua hari itu memudahkan pelajar untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi di tempat masing-masing.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini mengumumkan hari mengundi pada 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.

"Walaupun kita beri cuti dua hari kepada mereka iaitu sebelum dan selepas hari mengundi, tetapi kelas yang tertangguh mestilah digantikan sebaik sahaja mereka pulang ke kampus.

"Mana-mana kelas dan aktiviti yang terlibat pada dua tarikh itu perlu diganti semula mengikut kesesuaian jadual pengajaran", katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Setakat ini, 4,112 pelajar UniSZA telah mendaftar sebagai pengundi untuk PRU 14 pada 9 Mei ini.

Beliau berkata langkah pengurusan UniSZA itu adalah sebagai meraikan proses demokrasi di negara untuk memilih pemimpin.

-- BERNAMA