Kaum Dusun pedalaman Sabah masih memerlukan BN - Persatuan




KENINGAU, 19 April (Bernama) -- Persatuan Anak Anak Peribumi Dusun Pedalaman Sabah (Peribumi) berkata kaum Dusun masih memerlukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan di negara ini.

Setiausaha agungnya Rosanna Edeza berkata sepanjang tempoh lima tahun, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan prestasi cemerlang untuk mengemudi negara ini ke tahap tinggi di mata dunia.

"Dengan kecemerlangan itu, kami (kaum Dusun) optimis dengan sepenuhnya dengan BN," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rosanna berkata, konsep mendahulukan rakyat yang memberi perhatian utama kepada kebajikan rakyat negeri Sabah dengan peruntukan besar melalui bajet 2018, membuktikan kerajaan BN diterajui Najib benar-benar ikhlas kepada rakyat Sabah.

"Sebab itu kami meletakkan kepercayaan penuh kepada Najib dan BN .. kerajaan ini (BN) perlu dipertahankan dan kami (persatuan Dusun) memberi sokongan tidak berbelah bahagi," Katanya.

Rosanna juga berharap persatuan berkenaan diberi peluang sebagai sebahagian daripada pembuat dasar pada masa hadapan.

Peribumi yang didaftarkan pada 2 Disember 2015 diasaskan oleh garaduan dan sarjana anak-anak kaum Dusun dan mempunyai kenggotaan kira-kira 2,000 orang di seluruh kawasan pedalaman Sabah.

Sebahagian besar ahli persatuan itu terlibat dalam aktiviti pertanian komersil, selain berjuang memperkasakan pendidikan generasi bangsa itu.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14), Rosanna mengajak ahli persatuan itu khususnya golongan muda supaya memainkan peranan penting untuk memastikan BN kembali berkuasa selepas 9 Mei depan.

"Anda (Sarjana Dusun) adalah perintis bagi masa depan negara ini (Malaysia).. kita perlu sentiasa komited dan bersatu dalam Barisan Nasional untuk mewujudkan pembangunan mapan bangsa ini.

"Percayalah bahawa kerajaan menyedari sumbangan dan peranan bangsa ini .. kita adalah contoh kemajuan ekonomi, kestabilan dan perpaduan di masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA