Abang Johari akan rundingi BN pusat berhubung pengumuman calon





KUCHING, 19 April (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau akan merundingi Barisan Nasional (BN) pusat berhubung pengumuman senarai calon Sarawak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Abang Johari yang juga pengerusi BN negeri berkata beliau akan mendapatkan perincian itu susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa pengerusi BN negeri akan mengumumkan senarai calon negeri masing-masing.

"Saya akan berhubung dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN) berhubung perkara ini,\" katanya ringkas kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga timbalan pengerusi BN hari ini berkata Najib selaku pengerusi BN memberi kuasa kepada semua pengerusi BN negeri untuk mengumumkan calon masing-masing pada tarikh yang difikirkan sesuai.

Beliau mengulas khabar angin sejak beberapa hari lalu yang kononnya perdana menteri akan menyerahkan watikah pencalonan kepada calon-calon BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur secara berperingkat pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

-- BERNAMA