Abdul Rahman harap gandingan seimbang dalam senarai calon BN Sabah





SEPANGGAR, 19 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berharap terdapat gandingan seimbang muka lama dan baharu dalam senarai calon bagi Sabah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Abdul Rahman, yang juga setiausaha Barisan Nasional (BN) berkata, sungguhpun muka baharu diperlukan, namun beberapa penyandang, yang setia berkhidmat kepada rakyat, harus dikekalkan.

"Jadi, senarai itu perlu seimbang," katanya kepada pemberita ketika melawat ke pekan Manggatal di sini untuk menyaksikan kerja pembersihan sistem saliran di pekan berkenaan.

Beliau berkata muka baharu tidak bermakna orang muda, ia boleh jadi mereka yang pernah berkhidmat sebagai penjawat awam dan mahu meneruskan bakti kepada rakyat menerusi pentas politik.

"Saya fikir akan ada beberapa orang (muka baharu) tapi saya tidak begitu pasti. Semuanya merupakan hak mutlak perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan ketua menteri dalam menentukan siapakah calon bagi Sabah," katanya.

Ditanya tentang respons penduduk Sepanggar berhubung dirinya sebagai bakal calon BN bagi kawasan pilihan raya itu, Abdul Rahman berkata respons itu baik dan pengundi mahu beliau membawa mereka melangkah ke arah masa depan yang lebih baik.

"Sepanggar ada segala-galanya yang diperlukan. Ia ada pelabuhan, ada tanah perindustrian yang sangat luas. Penduduk Sepanggar orangnya berfikiran terbuka, membenarkan masyarakat dari seluruh negara untuk tinggal di Sepanggar, menyediakan pekerjaan dan peluang perniagaan kepada mereka.

"Itulah mesej konsisten yang mereka sampaikan kepada saya sekiranya saya menjadi calon bagi pilihan raya umum," katanya.

-- BERNAMA