Kerajaan Negeri, Pusat harus daripada pasukan sama - MB Johor
PONTIAN, 19 April (Bernama) -- Rakyat Johor diminta supaya bijak membuat pilihan dengan memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana kerajaan pusat dan kerajaan negeri daripada pasukan yang sama mampu memastikan matlamat diinginkan dicapai.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang membuat permintaan itu berkata sukar untuk melaksanakan manifesto dan permintaan rakyat sekiranya kerajaan negeri tidak sehaluan dengan kerajaan pusat.
"Kalau kerajaan negeri (parti) lain dan kerajaan pusat (parti) lain, nanti matlamat kita di peringkat negeri pun susah nak capai. Jadi, pastikan kita jayakan pusat dan negeri dari pasukan yang sama iaitu pasukan biru bukan pasukan haru biru,\" katanya ketika berucap pada majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Kukup, di sini hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mohamed Khaled berkata beliau yakin masyarakat di kawasan Tanjung Piai akan memberikan kejutan dan 'hadiah' kepada kerajaan BN pada PRU14.
"Saya yakin seperti yang diucapkan oleh Pengerusi BN Tanjung Piai tadi (Datuk Md Othman Yusof) kita akan hadiahkan kepada BN 3-0. Kita tunjuk kepada Datuk Seri Najib, kehadiran beliau di sini (Tanjung Piai) tidak sia-sia dan ia di balas dengan baik oleh masyarakat di sini," katanya.
Beliau turut berharap rakyat dapat menimbang dan mengkaji manifesto BN yang sangat komprehensif, inklusif dan menyeluruh bagi memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada pelbagai tawaran progresif dan pelan pembangunan.
"Dalam konteks ini, kita ucapkan tahniah kepada kerajaan BN kerana dapat membentangkan satu tawaran manifesto yang sangat realistik berasaskan pencapaian semasa yang dipimpin untuk masa hadapan.
"Manifesto BN peringkat pusat terdapat 300 akujanji yang menyeluruh, seimbang, fokus dan sangat bertanggungjawab, berbeza dengan pembangkang yang manifestonya hanya 60 tawaran," katanya.
Mohamed Khaled berkata manifesto BN Johor pula mempunyai 230 tawaran berbeza dengan pakatan pembangkang dengan 20 tawaran sahaja.
"Ini maknanya setahun hanya empat perkara sahaja dia (Pakatan Harapan) hendak buat. Oleh itu, saya harap, kita semua akan memberikan sokongan bukan sahaja kepada PM tetapi calon-calon parti kita," katanya.
-- BERNAMA