Jangan sabotaj parti - MB Perak
IPOH, 19 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin dan anggota yang cuba mensabotaj calon yang terpilih mewakili parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN tidak akan berkompromi dengan anggota parti yang melakukan tindakan sedemikian kerana ia boleh menjejaskan imej dan kredibiliti parti.
Katanya, pemantauan secara berterusan akan dilakukan oleh pihak parti bagi membendung perkara itu daripada berlaku.
"Orang yang mensabotaj parti adalah yang sangat besar dari segi kesalahannya. Yang ini bukan hanya kita takkan bertolak ansur malah pembangkang sekalipun akan buat tindakan sama.
Pihak kita sedang memantau mereka yang sedang atau cuba melakukan tindakan tersebut," kata beliau yang juga Menteri Bsar Perak pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hak Milik Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) di Dewan Komuniti Chemor, di sini, hari ini.
Sebelum ini, seorang penyandang kerusi wakil rakyat di Perak dilaporkan telah disabotaj pihak tidak bertanggungjawab melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata, pihaknya mahu pemimpin dan anggota akar umbi BN Perak berlapang dada selain menghormati segala keputusan yang dibuat berhubung calon yang akan dipilih sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Hak masing-masing untuk menyuarakan pendapat namun dalam konteks BN apabila seseorang itu dinamakan sebagai calon BN maka kita perlu berikan sokongan tidak berbelah-bahagi," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, pada ketika ini jentera BN Perak tidak terganggu dengan isu berkenaan selain yakin setiap pemimpin dan anggota akar umbi akan mengutamakan kemenangan parti berbanding kepentingan individu.
-- BERNAMA