PPBM Kelantan umum tujuh calon Kerusi Parlimen 
KOTA BHARU, 19 April (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini mengumumkan tujuh calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini,
Tujuh kawasan yang akan ditandingi PPBM ialah Pasir Puteh, Tumpat, Bachok, Ketereh, Machang, Jeli dan Gua Musang.
Pengerusi Badan Perhubungan PPBM Kelantan,, Datuk Kamaruddin Md Nor, ketika mengumumkan senarai itu dalam satu sidang media di sini hari ini, berkata beliau akan bertanding di kerusi Pasir Puteh.
Timbalan pengerusinya, Datuk Sazmi Miah pula akan bertanding di Machang, Datuk Nordin Salleh (Tumpat), Mohd Zulkifli Zakaria (Bachok), Mohd Radzi Mohd Jidin (Ketereh), Azran Deraman (Jeli) dan Mohd Nor Hussin (Gua Musang).
"Kesemua calon ini adalah layak untuk bertanding dan bebas daripada hutang serta rasuah selepas saringan dibuat," kata Kamaruddin, yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Mengenai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, beliau berkata ia akan diumumkan dalam masa terdekat bersama-sama dengan calon lain daripada Pakatan Harapan.
-- BERNAMA