BN Kelantan tawar pembangunan seimbang duniawi dan ukhrawi




KOTA BHARU, 19 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Kelantan hari ini melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertemakan 'Bersama Demi Kelantan' yang mengandungi tujuh jaminan utama bagi membawa pembangunan seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyenaraikan tujuh jaminan tersebut iaitu memartabatkan syariat dan syiar Islam; membangunkan ekonomi mapan; mengutamakan kebajikan rakyat; memperkasakan belia; menambah baik infrastruktur; melestarikan alam sekitar; dan membela kaum minoriti.

"Secara keseluruhannya, BN Kelantan mempunyai 60 tawaran untuk Kelantan dan masa hadapannya, diletakkan di bawah tujuh jaminan utama,katanya ketika melancarkan manifesto itu di sini, malam ini.

"Ini merupakan satu agenda pembangunan yang seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi, yang akan dilaksanakan menerusi pendekatan berteraskan Maqasid Syariah atau Matlamat Syara," katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa BN Kelantan menawarkan lapan perkara untuk dilakukan dalam tempoh 100 hari pertama diberi mandat mentadbir negeri ini.

Ia melibatkan menurunkan kadar premium dan cukai tanah; menyediakan perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan; mewujudkan jawatankuasa hisbah untuk memantau tadbir urus dan mengenal pasti penambahbaikan untuk dilaksana; memberi diskaun bagi tunggakan cukai pintu, menghapuskan tunggakan bayaran sewa tapak dan mengkaji semula cukai pihak berkuasa tempatan.

Empat tawaran lagi ialah menghapuskan kutipan cukai kepala bakul, memudahkan prosedur permohonan lesen bagi penjaja dan peniaga kecil, mengkaji semula kadar bayaran parkir bermeter; dan mewujudkan pasukan petugas bagi memerangi gejala dadah dengan lebih berkesan.

--BERNAMA