BN tak abai Islam jika diberi mandat tadbir Kelantan

KOTA BHARU, 19 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali mengabaikan malah akan menegakkan syariat dan syiar Islam jika diberi mandat mentadbir Kelantan, kata Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata kerajaan persekutuan pimpinan BN selama ini berusaha keras dalam menegakkan syiar Islam sehingga Malaysia dikenali di mata dunia sebagai sebuah negara Islam yang progresif.
"Islam sama sekali tidak akan digadaikan oleh BN di Kelantan kerana parti inilah yang selama 60 tahun ini membentuk acuan negara Islam yang cemerlang," katanya ketika berucap melancarkan Manifesto BN Kelantan bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata sebagai bukti, kerajaan persekutuan menubuhkan Tabung Haji pada 1963 yang menjadi model kepada negara Islam yang lain dan penjenamaan halal Malaysia yang turut diyakini oleh negara luar.
"Sistem perbankan dan kewangan Islam kita adalah yang paling komprehensif di dunia. Kita juga sudah merangka Dasar Pendidikan Islam dengan memartabatkan sekolah-sekolah agama sehinggalah terbangunnya Universiti Islam Antarabangsa (UIA) , Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang melahirkan puluhan ribu profesional dan teknokrat yang mempunyai jiwa dan tasawur Islam yang jelas.
"Saya tegaskan di sini bahawa BN bukan sekadar akan meneruskan agenda memartabatkan syariat dan syiar Islam, malah akan memperhebatkan apa sahaja dasar yang baik di bawah pentadbiran sekarang sekiranya kita (BN) menang PRU14," katanya.
Sementara itu, Mustapa yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata PAS sering melemparkan tuduhan bahawa kerajaan persekutuan sering menganaktirikan negeri ini sedangkan Kelantan merupakan antara penerima peruntukan tertinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
"Semua ini jelas di depan mata kita dan rakyat boleh menilai sendiri. Menerusi BN, kita ada universiti, kita bina hospital baharu selain beri kemudahan di kampung.
"Malah di Bandar Tunjong sahaja, pelbagai kemudahan disediakan termasuklah RTC, Jabatan Bomba, Jabatan Pendidikan Negeri dan bandar ini akan berkembang pesat selepas terbinanya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," katanya.
-- BERNAMA