PAS bersama Gagasan Sejahtera umum calon Parlimen, DUN bagi 11 negeri

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- PAS bersama Gagasan Sejahtera malam ini mengumumkan senarai calonnya yang akan bertanding di 126 kerusi Parlimen dan 323 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 11 negeri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan 9 Mei depan.
Pengumuman itu membabitkan kerusi di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu.
Senarai calon bagi tiga negeri Kelantan, Sabah dan Sarawak akan diumumkan kelak.
Di Kuala Lumpur, PAS Wilayah Persekutuan bersama Gagasan Sejahtera meletakkan calonnya di sembilan Parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Segambut, Putrajaya dan Labuan.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad ketika mengumumkan senarai calon itu berkata beliau akan bertanding di Parlimen Titiwangsa, manakala seorang calon wanita Dr Rosni Adam merangkap Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.
Di Seremban, PAS mengumumkan lapan calon yang akan bertanding di semua kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dan 26 calon bagi kerusi DUN termasuk meletakkan seorang calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Yaw Con Seng yang akan bertanding di DUN Temiang.
Pesuruhjaya PAS negeri Mustaffa Daharun ketika mengumumkan senarai calon tersebut berkata beliau akan bertanding di Parlimen Jempol dan juga DUN Ampangan, manakala pemimpin wanitanya iaitu Ketua Muslimat PAS negeri Fazilah Abu Samah akan bertanding di DUN Senaling.
Parti itu turut melancarkan manifestonya untuk negeri itu bertemakan Negeri Sembilan Sejahtera´ yang menggariskan lima teras utama bagi menghadapi PRU14 iaitu urus tadbir Islam dan kerajaan negeri; kebajikan masyarakat; hal ehwal tanah; pertanian; dan pendidikan.
Di KANGAR, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mengumumkan parti itu akan bertanding di semua tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi DUN dengan Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Shukri Ramli akan mempertahankan kerusi DUN Sanglang.
Bagaimanapun pengumuman calon yang dibuat malam ini hanya menyenaraikan 17 nama, manakala calon yang akan bertanding di Parlimen Arau akan diumumkan kemudian.
Di MARANG, Pesuruhajaya PAS Terengganu Datuk Hussin Awang mengumumkan PAS Terengganu akan bertanding di kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN di negeri itu.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus diberi mandat untuk bertanding di Parlimen Marang namun melepaskan kerusi DUN Rhu Rendang untuk ditandingi Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Abdul Hadi telah bertanding di DUN Rhu Rendang selama lapan penggal sejak 1982 dan bertanding di Parlimen Marang bermula 1986.
Anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil pula diumum bertanding di DUN Batu Buruk.
"PAS menampilkan 15 muka baharu bagi kerusi DUN dan tiga di Parlimen. Sebanyak 60 peratus daripadanya mempunyai latar belakang pendidikan pengajian Islam dan golongan profesional hampir 22 peratus, selain kombinasi dalam kalangan usahawan, " kata Hussin.
Di KUANTAN, bekas Setiausaha Agung MIC Datuk S. Kumar dan Pengerusi DHPP Malaysia, N Balasubramaniam merupakan antara calon yang diumum mewakili PAS dan Gagasan Sejahtera bagi negeri Pahang pada PRU14.
Kumar, 45, yang juga presiden Parti Generasi Baru akan bertanding di kerusi DUN Tanah Rata yang terletak di bawah Parlimen Cameron Highlands, manakala Balasubramaniam, 60, di Parlimen Beserah.
Pengumuman oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar di Padang Awam Cenderawasih di sini malam ini menyaksikan gabungan itu buat pertama kali bertanding di kesemua 42 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen di Pahang.
Gabungan itu meletakkan pesara tentera Kapten (B) Ahiatudin Daud, 63, bertanding di Parlimen Pekan, yang penyandang kerusi berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada majlis itu, hanya 40 bakal calon DUN yang diumumkan dengan dua orang lagi akan diumum sebelum hari penamaan calon pada 28 April ini.
Di SHAH ALAM, dua pemimpin DHPP iaitu Pengarah Pilihanraya DHPP Selangor M. Rajan dan Naib Pengerusi DHPP Selangor Kong Tuck Wah diumum antara calon akan bertanding di 19 kerusi Parlimen daripada 22 kerusi di Selangor dan 45 kerusi daripada 56 kerusi DUN Selangor.
Pada majlis pengisytiharan calon PRU14 PAS Selangor di sini malam ini, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi turut mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusi DUN Sabak dan tiga anggota Exco kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga naib presiden PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib kekal bertanding di kawasan masing-masing iaitu Iskandar di DUN Pandan Indah (Chempaka), Dr Ahmad Yunus (DUN Sijangkang) dan Zaidy (DUN Taman Templer).
Sallehen berkata untuk PRU14, kesemua 11 penyandang kerusi DUN PAS akan mempertahankan kawasan masing-masing yang dimenangi pada PRU13 kecuali penyandang DUN Meru Dr Abd Rani Osman yang bertukar ke kerusi Parlimen Kapar.
Di JOHOR BAHRU, PAS dan Gagasan Sejahtera mengumumkan bakal bertanding di 20 daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen dan 41 kerusi daripada 56 kerusi DUN di Johor.
"Calon-calon pada PRU kali ini terdiri daripada 15 peratus golongan alim ulama, 25 peratus aktivis manakala 60 peratus pula daripada golongan profesional," kata Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin ketika mengumumkan senarai calon di sebuah hotel, di sini hari ini.
Turut disenaraikan ialah seorang calon dari Berjasa, iaitu satu daripada parti dalam Gagasan Sejahtera, Nordin Othman yang bertanding kerusi Parlimen Tanjung Piai.
Abdullah pula akan mempertahankan kerusi DUN Puteri Wangsa dan bertanding di kerusi Parlimen Tebrau manakala Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed akan sekali lagi bertanding di kerusi DUN Gambir dan turut bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat.
Di MELAKA, parti itu bakal bertanding di lima daripada enam kerusi Parlimen dan 24 daripada 28 kerusi DUN dengan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek mengumumkan beliau akan bertanding di DUN Duyong.
Beliau turut mengumumkan bekas Timbalan Pengarah Hospital Melaka Dr Mohd Khalid Kassim akan bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya, manakala seorang calon wanita yang merupakan ahli perniagaan Kintan Man bertanding di DUN Rim.
Di ALOR SETAR, PAS Kedah bersama Gagasan Sejahtera mengumumkan akan bertanding di kesemua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN Kedah.
Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakhrurrazi ketika mengumumkan senarai calon itu di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di sini berkata gagasan itu mengemukakan sebanyak 70 peratus muka baharu termasuk lima calon muslimat di empat kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen iaitu Kubang Pasu.
Beliau turut mengumumkan calon daripada parti Ikatan Bangsa Malaysia di bawah Gagasan Sejahtera akan bertanding di Parlimen Langkawi menentang Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad. Calon tersebut akan dinamakan kemudian.
PAS Kedah turut mengemukakan legenda bola sepak Kedah Radhi Mat Din untuk bertanding di kerusi Parlimen Pokok Sena menentang penyandang kerusi itu Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar.
Di KEPALA BATAS, PAS dan Gagasan Sejahtera Pulau Pinang mengumumkan akan bertanding di enam daripada 13 kerusi Parlimen dan 18 daripada 40 kerusi DUN di negeri itu.
Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Fauzi Yusoff berkata bagi kerusi Parlimen, PAS akan bertanding di Permatang Pauh, Kepala Batas, Nibong Tebal, Bayan Baru, Balik Pulau dan Tasek Gelugor.
Kerusi DUN pula ialah Penaga, Bertam, Pinang Tunggal, Permatang Berangan, Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Seberang Jaya, Permatang Pasir, Penanti, Bukit Tengah, Sungai Bakap, Sungai Acheh, Sungai Pinang, Pantai Jerejak, Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang.
Di TAIPING, PAS Perak mengumumkan akan bertanding di 19 daripada 21 kerusi Parlimen dan kesemua 43 kerusi DUN di negeri itu, yang turut menampilkan lima calon wanita dan tiga calon bukan Islam daripada DHPP.
Dalam pengumuman yang dibuat Markaz Tarbiyyah PAS Perak, Air Kuning, di sini, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata beliau akan bertanding di DUN Gunung Semanggol, manakala Naib Presiden PAS Idris Ahmad kekal bertanding di Parlimen Bukit Gantang.
Gagasan Sejahtera dianggotai PAS bersama-sama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
-- BERNAMA