MCA tidak gentar dengan strategi DAP di Johor




JOHOR BAHRU, 20 April (Bernama) -- Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang disifatkan sebagai tidak mempunyai pendirian tetap apabila masih berteka-teki sama ada beliau kekal bertanding di Johor atau meninggalkan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata penasihat parti pembangkang itu dilihat seperti hilang arah apabila terperangkap dalam percaturan pemilihan calon parti dengan beralih tumpuan untuk 'membunuh' semangat MCA di negeri itu.

"Dia kata mahu hantar 'orang kuat' pembangkang ke Johor namun setakat ini hanya Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong," katanya pada sidang media selepas melawat jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Tebrau, di sini hari ini.

Liew dicalon untuk bertanding kerusi Parlimen Ayer Hitam yang disandang oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Liow mengulas desas desus kononnya Lim tidak akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Iskandar Puteri yang sebelum ini dikenali sebagai Gelang Patah, sebaliknya mencari kawasan baharu untuk bertanding termasuk menjadikan Parlimen Johor Bahru antara sasarannya.

Lim, 77, sejak memenangi kerusi pertamanya di Bandar Melaka pada PRU3 pada 1969, telah menjadi Ahli Parlimen di lima negeri iaitu Melaka, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Pada PRU13, Lim menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi di Parlimen Gelang Patah.

Dalam pada itu, Liow menegaskan jentera MCA tidak pernah gentar dengan strategi DAP malah sentiasa memperkukuhkan kesepakatan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain bagi memastikan parti itu dapat mempertahankan empat kerusi Parlimen di Johor.

Pada PRU13, MCA memenangi kerusi Parlimen Labis, Ayer Hitam, Tebrau dan Tanjung Piai di Johor dengan Datuk Khoo Seang menewaskan calon PKR, Choong Shiau Yoon dengan majoriti 1,767 undi di Parlimen Terbrau.

-- BERNAMA