Kerajaan berhasrat jadikan Kimanis sebuah hab pendidikan
KIMANIS, 20 April (Bernama) -- Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Kimanis sebagai sebuah hab pendidikan bagi Negeri Sabah.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang juga penyandang kerusi Parlimen Kimanis, menyambut hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi itu yang dilihat bertepatan dengan matlamat kerajaan negeri untuk menuju ke arah Revolusi Industri 4.0.
"Ini merupakan perancangan dalam jangka masa panjang dan perkara ini sudah dibincangkan antara kedua-dua pemimpin peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan parlimen ini."
"Dalam perbincangan awal ini juga, saya pernah memohon kepada pihak Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk membangunkan sebuah lagi Universiti Teknologi Petronas (UTP) di kawasan ini dengan melihat keperluan dan kesesuaian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mini Karnival KPT4U di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti Mohd. Nasir Abd Ghanu berkata sebanyak 9.67 peratus graduan daripada Kolej Komuniti beroleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan, sekali gus membuktikan kebolehpasaran pelajar berkenaan setanding dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang lain.
Beliau juga berkata dengan penambahan Kolej Komuniti di Sabah, khususnya di Kimanis yang akan dilancarkan dalam tahun ini mampu meningkatkan akses pusat latihan kemahiran yang lebih meluas.
-- BERNAMA