Pelan pembangunan ekonomi bakal jadikan Segamat lebih makmur
SEGAMAT, 20 April (Bernama) -- Pelan Tindakan Pembangunan Ekonomi Segamat (SEDAP) yang dilancarkan hari ini merupakan pelan holistik dalam jangka masa panjang bagi menjadikan ekonomi daerah ini lebih makmur dan dinamik.
Penyandang kerusi Parlimen Segamat Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata pelan itu, yang meliputi tempoh 2018 hingga 2023, akan menekankan banyak aspek termasuk pembangunan infrastruktur, industri pelancongan dan infrastrutur digital.
Beliau berkata untuk sektor pelancongan, Segamat dijangka dibangunkan dengan pusat teknologi bio, biomas dan agropertanian sejajar dengan kedudukannya yang kaya dengan rangkaian kelapa sawit, selain kerana statusnya sebagai zon pembangunan asas tani Johor.
"Pelan ini turut menyasarkan untuk membawa pelbagai industri masuk ke Segamat di samping memastikan keperluan pembangunan sumber manusia dan keusahawanan dijaga," kata Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan.
SEDAP dilaksanakan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang meletakkan Segamat sebagai kawasan pertumbuhan baharu dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelan itu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat di sini.
Dalam pada itu, Dr Subramiam yang juga Presiden MIC berkata usaha membangunkan Segamat sudah lama diusahakan oleh kerajaan Barisonal Nasional (BN) secara berperingkat.
Sehubungan itu, beliau meminta penduduk daerah ini supaya terus memberikan mandat kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan pelan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihati mereka yang tidak dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya kali ini supaya menerima perkara itu dengan hati terbuka dan menghormati keputusan pucuk pimpinan gabungan parti itu.
"Yang penting, BN menang besar pada PRU14 agar kita dapat menubuhkan kerajaan yang kuat," katanya.
-- BERNAMA