BN Kedah yakin mampu laksanakan 100 peratus manifesto
ALOR SETAR, 20 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Kedah yakin mampu melaksanakan 100 peratus manifesto bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dalam tempoh lima tahun akan datang khusus buat rakyat di negeri ini.
Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata keyakinan itu bersandarkan kepada pencapaian 97.6 peratus Aku Janji BN Kedah pada PRU13 yang lalu.
"Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang serta perkara-perkara yang kita tidak boleh lakukan, kita tidak membohongi rakyat sebaliknya apa yang kita lakukan adalah realistik dan boleh dicapai," katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto BN Kedah di sini malam ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr Cheah Soon Hai, Pengerusi MCA negeri, Datuk Lee Chee Leong dan Pengerusi MIC negeri, Datuk Jaspal Singh serta barisan kepimpinan BN Kedah.
Ahmad Bashah yang juga menteri besar berkata, selain manifesto BN negeri, setiap 15 Parlimen di Kedah turut akan menyediakan manifesto masing-masing sebagai kesinambungan kepada manifesto BN negeri dan pusat.
Manifesto bertemakan Menerus Kemajuan, Menzahir Impian itu menampilkan tujuh kluster merangkumi projek berimpak tinggi bernilai RM55.1 bilion, program kesejahteraan hidup rakyat (RM2.7 bilion), infra dan utiliti (RM6.5 bilion), pelancongan (RM60 juta), pendidikan dan modal insan (RM14 juta), agama (RM581 juta) dan belia dan anak muda (RM238 juta).
-- BERNAMA