PRU14: Manifesto PH Kedah garis 10 teras utama
PENDANG, 20 April (Bernama) -- Manifesto Pakatan Harapan (PH) Kedah untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menggariskan 10 teras utama dengan meliputi 10 janji tersenarai yang akan dilaksanakan dalam masa 100 hari sekiranya berjaya menerajui pentadbiran kerajaan negeri itu.
Intipati manifesto bertemakan - Harapan Bersama Makmurkan Kedah - dibacakan oleh Penasihat PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, yang juga penyandang kerusi Parlimen Sungai Petani, pada majlis pelancaran manifesto tersebut di Bukit Jenun, dekat sini, malam ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi PH negeri ini merangkap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), parti yang dibubarkan sementara, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Sepuluh teras itu terdiri daripada melengkapkan kemudahan asas dan perumahan rakyat, mengutamakan kebajikan dan kesihatan rakyat, memperkukuhkan nilai keagamaan, melonjak mutu pendidikan dan modal insan, memperkasakan wanita.
Memperkasakan belia, sukan dan badan bukan kerajaan (NGO), memperhebatkan pembangunan pertanian dan perikanan, merancakkan pertumbuhan ekonomi, mereformasikan pengurusan dan urus tadbir negeri serta melestarikan alam sekitar.
Sementara itu, 10 janji tersebut ialah mengatasi masalah gangguan bekalan air, menyediakan sumbangan khairat kematian untuk semua kaum dan agama dalam tempoh 24 jam, menilai semua penglibatan anggota politik dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Selain itu, menubuhkan tabung penyakit kronik dan pusat dialisis, menubuhkan tabung khas wanita, merangka satu keluarga satu rumah, membuka 'Bandar Belia', menggalakkan pertanian domestik, memperkenalkan mahkamah syariah secara bergerak serta menubuhkan pasukan petugas untuk menyelesaikan masalah tanah.
Sebelum majlis pelancaran itu, terdapat ceramah disampaikan antaranya oleh Pengerusi DAP negeri, Tan Kok Yew, calon pakatan itu bagi kerusi Parlimen Pendang, Wan Saiful Wan Jan serta calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, Abd Razak Khamis.
-- BERNAMA