Manifesto BN Kedah tepati keperluan anak muda
ALOR SETAR, 20 April (Bernama) -- Golongan anak muda di negeri ini menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah yang dilancarkan hari ini sebagai menepati keperluan dan kehendak mereka.
Seorang daripadanya, Muhammad Ilman Syahir Ibrahim, 19, berkata tawaran manifesto di bawah Kluster Belia dan Anak Muda itu membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah memandang ringan keperluan dan kehendak anak muda di Kedah.
"Kami anak muda merupakan penyokong setia pasukan Lang Merah dan pembinaan stadium bola sepak baharu yang bernilai RM200 juta itu dapat menampung lebih ramai penyokong berbanding stadium yang sedia ada."
"Selain itu, kerajaan negeri juga akan memperkasakan sukan-sukan yang berpotensi untuk melahirkan jaguh seperti sukan skuasy yang dapat mengharumkan nama negeri dan negara," katanya kepada Bernama di sini malam ini.
Muhammad Akif Azhar, 21, berkata kerajaan negeri juga sentiasa mengambil berat mengenai pendidikan golongan muda apabila menawarkan Biasiswa Diraja melibatkan kos RM10 juta bagi membolehkan golongan ini menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.di universiti terkemuka di Timur Tengah.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Ahmad Marzuki Shariat berkata manifesto yang dilancarkan untuk PRU14 kali ini adalah lebih baik daripada sebelum ini yang meliputi keseluruhan aspek demi kesejahteraan rakyat Kedah.
"Menteri Besar kita sentiasa mengambil berat terhadap rakyat Kedah sebab itu manifesto yang dilancarkan menyentuh setiap aspek dan golongn yang bakal memberi faedah terbaik dan memudahkan rakyat negeri ini."
"Selain itu, saya cukup tertarik dengan penubuhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Kedah yang dapat memberi lebih ruang kepada golongan anak muda untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka," katanya.
Katanya, kewujudan Sidang DUN Belia itu dapat memberi peluang kepada anak muda untuk bersuara dan suara mereka itu kini bukan lagi sekadar didengari di kedai-kedai kopi tetapi diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi.
Terdahulu, Menteri Besar merangkap Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melancarkan Manifesto BN Kedah bertemakan 'Menerus Kemajuan, Menzahir Impian' di Stadium Sultan Abdul Halim yang dihadiri lebih 5,000 anggota BN dan parti komponen.
-- BERNAMA