Amrose yakin penduduk Penampang akan berubah
PENAMPANG, 21 April (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Penampang Datuk John Ambrose yakin penduduk di daerah itu akan berubah untuk membuat pilihan yang bijak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.
Beliau berkata walaupun daerah itu diwakili pembangkang namun kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengabaikan arus pembangunan Penampang untuk keselesaan penduduk daerah itu.
"Biarpun Penampang ini belum dimenangi BN tetapi saya percaya pada PRU14 ini, orang Penampang sudah berubah, iaitu berubah untuk BN, bukan berubah tidak menyokong BN.
"Saya berharap penduduk di sini mengubah fikiran dan memberi peluang kepada BN meneruskan pembangunan di sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sepakat Negaraku Komuniti 1Malaysia mobile CTC peringkat daerah Penampang, di kampung Madsiang, malam tadi.
Amrose berkata peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menaik taraf Pasar Donggongon membuktikan kerajaan pimpinan BN mempunyai seorang pemimpin yang prihatin.
Pada Januari lalu, dalam lawatan Najib ke daerah itu beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.5 juta bagi menaik taraf pasar itu yang telah berusia lebih 30 tahun.
Dalam pada itu, Ambrose berkata di bawah pemerintahan Najib, Mahkamah Anak Negeri tidak ketinggalan apabila turut diberi peruntukan berbanding pemimpin sebelum ini.
Katanya, kewujudan mahkamah itu sangat penting bagi kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus di Sabah.
"Jika mahkamah ini tiada, tentu sekali orang-orang muda akan lupa adat orang lama dan pemberian peruntukan itu membuktikan BN prihatin setiap keperluan rakyatnya tanpa mengira agama dan kaum.
-- BERNAMA