Penduduk Tenom mahu momentum BN dikekalkan
Oleh Rohana Nasrah
TENOM, 21 April (Bernama) -- Penduduk Parlimen Tenom mahu momentum Barisan Nasional (BN) terus dikekalkan di kawasan berkenaan, yang sememangnya menjadi kubu kuat parti tersebut, kerana melihat banyak usaha dilakukan kerajaan untuk membangunkan kemudahan bagi keperluan penduduk di situ.
Seorang pesara Francis Chong, 71, melihat peratusan untuk BN mengekalkan momentum di Tenom pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti adalah tinggi kerana BN adalah sebuah parti yang komited selain sentiasa bersedia memberi bantuan dan memperkenalkan program bagi memperkasa lagi pembangunan rakyat.
Berkongsi cerita dan rasa puas hatinya terhadap komitmen kerajaan, Chong yang juga seorang pekebun kecil berkata lima tahun lepas, beliau pernah memohon untuk mengikuti program penanaman semula getah melalui satu daripada subsidi diperkenalkan kerajaan untuk program berkenaan.
Kini, Chong berkata, beliau sudah boleh menarik nafas lega kerana penanaman getah lima tahun lepas itu telah menampakkan hasil apabila pokok getah ditanam sudah mulai boleh ditoreh.
"Bagi saya, saya berterima kasih kepada kerajaan BN kerana membantu saya dalam program penanaman semula getah. Saya sangat berpuas hati kerana getah sudah boleh dipotong? Saya baru pulang dari kebun ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Schneider Keen Shulaimi, 37, yang bekerja sendiri, mahu BN dikekalkan di Tenom bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kemajuan dibawa ke daerah tersebut demi masa depan generasi muda Tenom pada masa akan datang.
"Itu (masa depan generasi muda) yang lebih penting," katanya.
Lain pula pandangan seorang pekebun Rattu Mansur, 58, yang berpendapat BN akan menghadapi saingan hebat pada pilihan raya kali ini memandangkan pelbagai parti pembangkang yang wujud sekarang.
Meskipun begitu, seorang pesara swasta Jumat Kunjin, 63, yakin BN masih mampu mengekalkan Tenom sebagai kubu kuatnya, dan beliau sendiri mahu momentum kepimpinan parti itu terus dikekalkan di kawasan berkenaan memandangkan ia adalah sebuah kerajaan yang komited terhadap pembangunan.
"Jika boleh BN dikekalkan di Tenom kerana BN kerajaan komited membawa pembangunan di sini," katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga kecil-kecilan Meng Andawai, 33, berkata sememangnya diakui kerajaan BN banyak membawa pembangunan dan kemudahan untuk penduduk di Tenom, namun, beliau berharap peluang untuk golongan muda di kawasan itu diperkasakan lagi pada masa akan datang.
Ini termasuk memberi modal permulaan untuk golongan muda membuka perniagaan serta bimbingan keusahawanan bagi membolehkan mereka melonjakkan lagi potensi diri dan mendapat sumber pendapatan, katanya.
Pada pilihan raya yang lepas, calon BN Datuk Raime Unggi menang kerusi Parlimen Tenom dengan majoriti 3,886 undi.
-- BERNAMA