PRU14: Manifesto BN Negeri Sembilan garis dua teras utama





SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan melancarkan manifesto bertemakan 'Memakmurkan Negeri, Mensejahterakan Rakyat' dengan menggariskan dua teras utama dengan 18 inisiatif bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Teras pertama yang terkandung dalam manifesto itu ialah Memakmurkan Negeri dengan tumpuan diberikan kepada sembilan perkara meliputi ekonomi, pelaburan, infrastruktur, agama Islam, perkhidmatan awam, perpaduan, pertanian, pelancongan dan pendidikan.

Sektor Perkhidmatan, Pembuatan dan Pertanian menjadi sektor utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan menjelang 2045, ia disasarkan menyumbang sebanyak empat hingga enam peratus dengan 1.3 juta peluang pekerjaan akan dapat dicipta.

Mensejahterakan rakyat pula menjadi teras kedua dalam manifesto BN Negeri Sembilan dengan sembilan agenda menjadi tumpuan merangkumi perumahan, kesihatan, sukan, Orang Asli, belia, wanita, kemiskinan, keselamatan dan alam sekitar.

Di bawah inisiatif perumahan, BN Negeri Sembilan menjamin pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat negeri ini akan terus diwujudkan selain memastikan kemudahan dan infrastruktur kesihatan yang lebih baik, untuk inisiatif kesihatan serta inisiatif keselamatan iaitu menjamin keselamatan dan ketenteraman awam turut diberikan perhatian dan inisiatif Orang Asli iaitu memastikan kebajikan mereka terjamin.

Selain itu, manifesto itu turut menyenaraikan dua pelan jangka panjang yang dirangka BN iaitu ke arah menjadikan Negeri Sembilan Moden 2045 dan Skim Mensejahterakan Rakyat.

Di bawah pelan Negeri Sembilan Moden 2045 ia turut merangkumi tiga pelan iaitu Pembangunan Negeri Sembilan moden 2045; Pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) dan Hala Tuju Luar Bandar Negeri Sembilan.

Ia dirangka bagi memacu pembangunan Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri moden menjelang tahun 2045 dengan aspek Dasar Jaringan Keselamatan Sosial yang bersifat inklusif yang akan terus menjadi tunjang utama dalam teras itu bagi memastikan semua rakyat di negeri ini akan terangkum dan tiada yang tercicir daripada arus pemodenan dan pembangunan ekonomi yang pesat.

Skim mensejahterakan rakyat pula merangkumi tambahan caruman Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50); sumbangan caruman insurans tabika kerajaan; bantuan khas RM1,000 dan RM500 untuk anak Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi di peringkat sarjana muda dan diploma.

Insentif pocket WiFi bagi siswa Negeri Sembilan; meneruskan pemberian lesen penjaja secara percuma; bantuan khas RM550 kepada pasangan pengantin baharu; cukai tanah dan pintu tidak akan dinaikkan dalam tempoh lima tahun; pemeriksaan pap smear dan mamogram percuma untuk wanita.

Menyediakan pusat dialisis rakyat dengan harga murah; rebat bil air bagi semua rumah ibadat yang berdaftar; perkhidmatan shuttle percuma ke kawasan tumpuan seperti hospital, pasar dan Pusat Transfromasi Bandar (UTC) serta bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000.

Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika membentangkan manifesto itu di hadapan 5,000 penyokong di sebuah hotel di sini berkata kerajaan BN negeri komited dalam memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

"Oleh itu BN mesti menang baik di peringkat negeri mahupun pusat...kalau di peringkat negeri berbeza (parti) dengan pusat, maka susahlah," katanya.

-- BERNAMA