MCA terus komited tingkat pendidikan masyarakat Cina
JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- MCA terus komited dalam usaha membantu meningkatkan keperluan pendidikan khususnya kepada masyarakat Cina di negeri ini.
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata usaha itu tidak akan terlaksana jika bukan kerana pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini turut meluluskan pembinaan 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) iaitu masing-masing lima di Johor dan Selangor.
"Ini bukan usaha secara solo MCA, kerajaan negeri menerusi pentadbiran Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga perlu diberi pujian kerana sentiasa prihatin terhadap pendidikan masyarakat Cina, malahan semua kaum.
"Kita dapat lihat sendiri dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Johor yang menyasarkan kesemua sekolah termasuk Cina, Tamil dan Sekolah Agama siap dibina menjelang 2023," katanya yang ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah cawangan ketiga Sekolah Menengah (SM) Foon Yew di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.
Terdahulu, dalam majlis pecah tanah itu Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata SM Foon Yew Stulang dan Kulai setakat ini mempunyai hampir 11,000 pelajar dan pembinaan cawangan ketiga di Seri Alam itu dijangka dapat menampung kira-kira 5,000 pelajar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelenggara Penubuhan SM Foon Yew Seri Alam Tong Sing Chuan berkata pembinaan sekolah berkenaan memerlukan peruntukan RM80 juta dan setakat ini sebanyak RM20 juta sudah terkumpul hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan PBT.
"Bagi fasa pertama, kita memerlukan RM50 juta dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 serta boleh digunakan pada tahun berikutnya," katanya.
-- BERNAMA