Manifesto BN Negeri Sembilan terbaik, pelengkap manifesto BN Pusat

SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menggariskan dua teras utama dan 18 inisiatif bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai paling terbaik, komprehensif malah menjadi pelengkap kepada manifesto BN pusat yang dibentangkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, 7 April lepas.
Rata-rata pemimpin komponen BN Negeri Sembilan mengakui manifesto kali ini menyeluruh dan merangkumi segenap lapisan masyarakat serta sektor meliputi ekonomi, pelaburan, infrastruktur, agama Islam, perkhidmatan awam, perpaduan, pertanian, pelancongan dan pendidikan.
Bercakap kepada Bernama selepas pelancaran manifesto BN dan portal www.bnns2rakyat.com oleh Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini, Pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk L. Manickam memberitahu Bernama segala yang tawarkan BN negeri hari ini amat realistik untuk dilaksanakan serta menjadi pelengkap kepada manifesto BN pusat.
Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Datuk David Choong Vee Hing berkata manifesto yang dibentangkan itu merupakan tawaran terbaik bagi mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri tanpa ada pihak yang tertinggal daripada menikmati perkhidmatan yang dijanjikan BN.
Ketua Penerangan MCA Negeri Sembilan Dafney Ho Choy Shin berpandangan selain menyentuh segenap masyarakat, manifesto itu juga banyak memberi tumpuan kepada golongan muda selaras dengan Jaminan Orang Muda (#JomBN) yang dibentangkan Pengerusi Pemuda BN yang juga Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, 10 April lepas bagi menzahirkan komitmen BN untuk meneruskan khidmat bakti kepada golongan itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau pula menyifatkan tawaran yang dibentangkan dalam manifesto BN Negeri Sembilan sangat komprehensif meliputi segenap aspek selain turut menumpukan kepada keluarga muda dan bantuan khas RM550 kepada pasangan pengantin baharu.
-- BERNAMA