RM2 bilion untuk pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Sabah sejak 2008 - Salleh




KOTA BELUD, 21 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), telah membelanjakan lebih RM2 bilion sejak 2008 sehingga kini bagi pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan jalur lebar di seluruh Sabah.

Beliau berkata baru-baru ini juga kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan inisiatif Koridor Digital Utara Sabah melibatkan kos sebanyak RM100 juta bagi memantapkan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi di zon utara Sabah.

"Inisiatif ini yang secara dasarnya merangkumi projek-projek penaiktarafan infrastruktur dan liputan komunikasi, komuniti selamat dan pintar, serta pembangunan aplikasi bagi daerah Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran.

"Ia turut juga menyokong Pelan Fiber Seluruh Negara yang telah diumumkan pada 2017. Infrastruktur fiber amat diperlukan kerana infrastruktur fiber akan memberi kelajuan kepada internet bagi memastikan Sabah bergerak ke arah digital," katanya ketika merasmikan Pusat Internet 1Malaysia Kampung Tamau, dekat sini hari ini.

Salleh berkata memang tidak dapat dinafikan, teknologi dan internet banyak memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara.

"Di Malaysia, kita dapat melihat bagaimana penggunaan teknologi digital banyak mempengaruhi perubahan ekonomi dan sosial dengan mewujudkan sumber pendapatan baru selain membantu meningkatkan produktiviti, memacu inovasi serta dapat menembusi pasaran global.

"Oleh itu membawa internet kepada rakyat adalah peluang yang sangat besar untuk menaikkan tahap pendapatan, merangsang keusahawanan dan mengurangkan jurang yang sebelum ini menjadi batu penghalang kepada inovasi serta pembangunan usaha niaga baru," tambahnya.

Beliau berkata masyarakat di Kota Belud perlu berbangga kerana daerah itu telah dipilih sebagai penanda aras dan model pembangunan berasaskan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) untuk daerah lain di Sabah, melalui inisiatif Komuniti Pintar yang dilaksanakan oleh SKMM.

"Secara keseluruhannya hampir RM70 juta telah dibelanjakan oleh pihak Kerajaan dan swasta dalam pelaksanaan inisiatif Komuniti Pintar di Kota Belud bagi fasa pertama. Sebahagian besar perbelanjaan ini adalah melibatkan penaiktarafan infrastruktur dan perluasan liputan telekomunikasi.

"Melalui pelaksanaan Komuniti Pintar Kota Belud fasa kedua pula, tambahan kos melebihi RM20 juta lagi akan dibelanjakan bagi pelaksanaan beberapa program baharu. Antaranya mewujudkan sistem penyelesaian keselamatan pintar melibatkan pemasangan CCTV pintar, menambah baik Sistem Pemantauan Keselamatan dan Paras Air (SAIFON) serta meningkatkan capaian komunikasi talian tetap dan tanpa wayar di Kota Belud," katanya.

Beliau berkata sejak pelaksanaan Inisiatif Komuniti Pintar di Kota Belud pada 2016, banyak perubahan positif yang dapat dilihat termasuk penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi di mana penduduk di Kota Belud kini dapat menikmati liputan jalur lebar yang lebih baik iaitu 90 peratus kawasan liputan 3G dan 100 peratus liputan 4G di kawasan Pekan Kota Belud.

Mengulas menganai majlis itu, Salleh berkata setakat ini, sebanyak 849 Pusat Internet 1Malaysia beroperasi di seluruh Negara dengan 109 daripadanya adalah di Sabah.

"Di Kota Belud sahaja, terdapat enam buah Pusat Internet 1Malaysia yang telah beroperasi iaitu di Kampung Ambong, Kampung Tamu Darat, Perpustakaan Negeri Cawangan Kota Belud, Kampung Rampaian Laut, Kampung Suang Punggur dan terbaru di Kampung Tamau ini.

"Dengan adanya pusat-pusat internet ini, penduduk setempat dapat menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk berurusan dengan kerajaan, melakukan transaksi perbankan, membeli belah, mempromosi barangan, mempelajari sesuatu yang baharu, dan sebagainya, yang sudah tentu memudahkan kehidupan masing-masing," katanya.

-- BERNAMA