3,737 borang pencalonan PRU14 telah dijual setakat 20 April - SPR





PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjual 3,737 borang pencalonan bagi pilihanraya umum ke-14 (PRU14) sehingga semalam (20 April).

Menurut SPR dalam satu kenyataan hari ini, sebanyak 1,220 daripadanya adalah borang pencalonan bagi kerusi Parlimen dan 2,517 adalah bagi dewan undangan negeri (DUN).

Di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula sebanyak 43 borang pencalonan telah dijual, manakala di Sarawak 125 borang.

Antara negeri yang mencatatkan jualan borang pencalonan tertinggi ialah Sabah dan Labuan (288 Parlimen, 605 DUN; Pulau Pinang (120 Parlimen, 390 DUN); Selangor (112 Parlimen, 269 DUN); Kedah (100 Parlimen, 241 DUN); dan Johor (101 Parlimen, 120 DUN).

Di Perak, sebanyak 86 borang pencalonan Parlimen dan 189 DUN telah dijual; Kelantan (69 Parlimen, 194 DUN); Pahang (57 Parlimen, 172 DUN); Terengganu (42 Parlimen, 128 DUN); Melaka (21 parlimen, 93 DUN); Negeri Sembilan (6 Parlimen, 58 DUN); dan Perlis (5 Parlimen, 13 DUN).

Selain itu, menurut SPR, sebanyak 45 borang pencalonan Parlimen dan 45 borang pencalonan DUN turut dijual di ibu pejabatnya di sini.

SPR menetapkan hari mengundi PRU14 pada 9 Mei; penamaan calon pada 28 April manakala pengundian awal pada 5 Mei.

Jumlah kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini masih kekal seperti PRU13 lepas iaitu 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN.

-- BERNAMA