ETC di setiap daerah jika BN perintah Selangor - Noh





SHAH ALAM, 21 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) berjanji akan menubuhkan Pusat Tranformasi Usahawan (ETC) di setiap daerah di Selangor sekiranya diberi mandat menubuhkan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata ETC itu nanti akan berfungsi sebagai pusat setempat yang menempatkan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dengan keusahawanan antaranya Majlis Amanah Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad di bawah satu bumbung.

"Dengan adanya ETC ini di setiap daerah di Selangor, usahawan dan mereka yang mahu menjadi usahawan tidak lagi perlu pergi ke pelbagai tempat untuk mendaftarkan peniagaan ataupun bertanyakan pinjaman untuk perniagaan mereka, semuanya ada ditempatkan di sini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan ETC Shah Alam di Seksyen 14 di sini hari ini.

Kata Noh penubuhan ETC di Shah Alam merupakan contoh betapa BN mengambil berat dalam mengotakan setiap janji dalam manifestonya bagi PRU-14.

"Penubuhan ETC ini merupakan antara janji dalam manifesto BN Selangor, dan berikutan kepentingan ETC terhadap usaha kerajaan untuk membantu dan mengalakkan generasi muda berniaga BN Selangor, kita mengambil keputusan untuk menubuhkan ia lebih awal," katanya.

Sementara itu, Pengerusi ETC Selangor Datuk Waheeda Faruz Telahan berkata ETC Shah Alam turut menganjurkan seminar keusahawan secara percuma selain menyediakan ruang pejabat.

-- BERNAMA