DUN Pilah mampu dipertahankan - Norhayati

SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah Datuk Norhayati Omar yakin kerusi itu mampu dipertahankan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan berkata keyakinan ini bersandarkan penerimaan positif pengundi setempat kepada BN hasil gerak kerja berterusan yang dijalankan selama lima tahun ini.
"Saya yakin BN boleh menang kerana kita ada strategi, sistem dan kaedah kita selain kerja kuat yang telah kita lakukan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Sukan Amal Bersama Anak-anak Yatim anjuran Kesatuan Bidan dan Jururawat Masyarakat Semananjung Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Datin Radziah Idris.
Pada PRU13 lepas, Norhayati menang dengan majoriti 113 undi menewaskan Mohamad Nazaruddin Sabtu daripada PKR.
Mengulas mengenai spekulasi kononnya kawasan itu turut diintai beberapa calon BN yang lain, Norhayati berkata kesemua tanda tanya bakal terjawab selepas pengumuman calon oleh Pengerusi BN Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam masa terdekat.
"Kita masih menunggu pengumuman (calon), banyak spekulasi kita dengar... tapi walau apa pun kita menunggu tarikh yang diumumkan dan ketika itu akan terjawab segala spekulasi," katanya.
Sementara itu, program sukan amal itu disertai seramai 400 ahli Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Negeri Sembilan serta 74 orang anak yatim daripada seluruh negeri ini.
Ia bertujuan bagi menerapkan gaya hidup sihat melalui sukan selain memupuk sikap keprihatinan dikalangan masyarakat.
-- BERNAMA