BN Besut lancar lapan manifesto PRU14





BESUT, 21 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Besut melancarkan lapan manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dekat sini, malam tadi.

Pelancaran disempurnakan Anggota Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut dan penyandang kerusi Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh.

Majlis itu dihadiri pemimpin bahagian UMNO dan MCA Besut serta lebih 3,000 penyokong parti itu.

Lapan manifesto BN Besut adalah:

1. Membina lebuh raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).

2. Membina 1,500 Rumah Mampu Milik di Parlimen Besut.

3. Meneruskan pembangunan Taman Ilmu.

4. Menaik taraf Hospital Besut sebagai Hospital Berpakar.

5. Merancakkan industri pelancongan daerah Besut.

6. Menjadikan daerah Besut sebagai pusat ternakan dan bekalan susu kambing negara.

7. Menjadikan pesisir Sungai Keluang sebagai tempat riadah.

8. Pembangunan Kota Putera Mall.

Di majlis itu juga, Idris menerima borang menyertai UMNO daripada Ketua Keselamatan Parti Pribumi Bersatu bahagian Besut, Hashim Hassan bersama 12 pengikutnya.

Mengenai tekad untuk menjadikan daerah Besut sebagai pusat ternakan dan bekalan susu kambing negara, Idris berkata ia merupakan kesinambungan usaha Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menternak kambing tenusu di Bukit Marak, Hulu Besut sejak dua tahun lepas.

Katanya, buat masa sekarang pusat itu yang mempunyai hampir 1,000 kambing tenusu yang diimport dari Australia, dipantau dan dijaga rapi oleh UniSZA dengan bantuan dua orang profesor.

-- BERNAMA