Kerajaan terus jaga kebajikan pesara - Ismail Sabri





BERA, 21 April (Bernama) -- Kerajaan terus menjaga kebajikan penjawat awam walaupun selepas mereka bersara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelbagai insentif dan penambahbaikan terus dilakukan bagi manfaat golongan pesara sebagai tanda penghargaan kepada jasa mereka semasa berkhidmat dengan kerajaan.

Sebagai contoh, Ismail Sabri merujuk kepada pengumuman kenaikan kadar pencen, pemberian geran khas RM3 juta kepada persatuan, yayasan dan kelab pesara serta kuota khas haji kepada pesara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 April lalu.

"Bukan itu sahaja, manifesto Barisan Nasional (BN) juga tidak meminggirkan golongan pesara antaranya memberi peluang kepada pesara dan anak mereka untuk membeli unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia.

"Ini menunjukkan kerajaan masih menjaga kebajikan mereka walaupun telah tidak lagi berkhidmat," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-24 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Bahagian Negeri Pahang di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar di sini, hari ini.

Turut hadir ialah PPKM Bahagian Negeri Pahang Datuk Abd Ghani L. Sulaiman.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap golongan pesara tidak melupakan jasa kerajaan dan tidak mudah termakan dengan dakyah pembangkang terutamanya menjelang musim pilihan raya.

Beliau menambah pembangkang tidak menjaga kebajikan penjawat awam seperti yang dilakukan kerajaan BN selain beranggapan jumlah kakitangan kerajaan yang ada sekarang sebagai 'berlebihan'.

"Pembangkang mengatakan 1.6 juta penjawat awam sebagai berlebihan sebab pada mereka jumlah yang sesuai sekitar 400,000 lebih sahaja. Jadi apa yang akan berlaku kalau mereka memerintah...? Bagaimana nasib kira-kira 1.2 juta penjawat awam yang lain...?

"Adakah mereka akan diberhentikan... Walaupun golongan pesara tidak terjejas jika perkara ini dilaksanakan, tapi mungkin anak, cucu atau saudara-mara mereka akan terkena," katanya.

Ismail Sabri juga mempersoalkan tindakan sesetengah individu yang mengubah pendirian sebaik sahaja meninggalkan perkhidmatan awam, sedangkan sepanjang kerjayanya telah menyatakan untuk setia kepada kerajaan.

Sedangkan Ismail Sabri menambah kerajaan yang disokong individu terbabit walaupun selepas bergelar pesara adalah kerajaan yang sama semasa berkhidmat dan telah banyak berjasa kepada mereka.

-- BERNAMA