Mohamad belum terima senarai calon BN Negeri Sembilan
SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan sekali lagi menegaskan beliau belum menerima senarai calon-calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Saya belum dapat senarai itu (calon), bila saya dapat senarai itu saya akan cari masa yang sesuai untuk kita umum calon- calon yang telah dipilih dan diberi mandat untuk mewakili parti semasa PRU14 ini.
"Bila dapat sahaja senarai calon, saya akan cari masa yang sesuai, panggil media untuk datang ke rumah saya dan akan saya umumkan di situ nanti," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan media berkenaan tarikh pengumuman calon-calon BN negeri bagi PRU14.
Pagi tadi di Putrajaya, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata senarai calon BN bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan diumumkan oleh pengerusi BN negeri masing-masing mulai esok hingga Selasa.
Calon BN bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, serta Terengganu akan diumumkan esok.
Sementara itu, Mohamad sekali lagi meminta ahli parti untuk akur dengan calon-calon yang dipilih untuk PRU14 ini.
"Seperti di Parlimen Jelebu, jangan dengan khabar angin. Tunggu sehingga saya umumkan calon-calon.
"Ketika pilihan raya, orang selalunya terlebih sensitif jadi eloklah sekiranya kita tidak membuat spekulasi," katanya.
Beliau berkata pemimpin di peringkat bahagian, terutamanya, perlu menasihatkan anggota parti untuk akur dengan apa saja keputusan yang ditetapkan di peringkat pusat.
"Pertimbangan yang dibuat di peringkat bahagian lain dengan pertimbangan di peringkat pusat, kita melihat di peringkat kawasan kita sahaja tetapi mereka melihat di peringkat negara," katanya.
-- BERNAMA