Manifesto BN Perak jamin kesejahteraan rakyat, pembangunan negeri - Zambry

IPOH, 21 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Perak bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dilancarkan hari ini mengandungi perancangan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan semua lapisan rakyat dan pembangunan negeri ini pada masa depan.
Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata manifesto bertema 'Demi Kemakmuran dan Kesejahteraan' itu menggariskan tujuh tekad dan menyasarkan tujuh golongan bagi memastikan adanya keseinambungan pembangunan dan pertumbuhan dari lima tahun lepas.
"Kita bukan hanya menabur janji-janji yang tidak dapat dipenuhi. Kita meletakkan perkara-perkara berdasarkan pengalaman dan keupayaan mentadbir negeri ini...kita yakin kita boleh dan mampu melaksanakannya.
"Saya yakin semua pihak, rakyat biasa, peniaga, penduduk di luar bandar dan taman-taman (perumahan) akan memberikan perhatian dan penilaian terbaik berdasarkan manifesto BN ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran Manifesto BN itu di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini, hari ini.
Kira-kira 5,000 anggota dari semua parti komponen BN hadir pada pelancaran itu. Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Perak Datuk Saarani Mohamad dan Pengerusi MCA Perak Datuk Mah Hang Soon.
Zambry berkata lebih 75 peratus dalam Manifesto BN Perak merupakan inisiatifi baharu bagi memastikan kesinambungan dalam pembangunan di negeri ini.
"Kita ada Pelan Tindakan Perak Amanjaya Blpada pilihan raya lalu. Kini, kita ada Perak Amanjaya 2.0? ia satu kesinambungan. (Dalam Manifesto BN PRU14) sebahagian besar adalah perkara baharu yang akan kita laksanakan dan kemungkinan kita boleh tambah lagi," katanya.
Sementara itu, Zambry berkata BN Perak menjadikan anak muda sebagai teras utama dalam manifesto itu bagi mengupayakan golongan itu termasuk mengadakan program khas dan kuota perumahan untuk mereka.
"Tumpuan pengupayaan anak-anak muda adalah untuk memberi mereka harapan melalui pelbagai inisiatif yang bakal dilaksanakan termasuk memperluaskan pelaksanaan Akademi Insan Muda Amanjaya dan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda," katanya.
-- BERNAMA