Manifesto Pakatan Harapan hanya temberang bersifat populis





KUALA NERANG, 21 April (Bernama) -- Manifesto Pakatan Harapan (PH) Kedah untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang diumumkan semalam hanyalah satu temberang yang bersifat populis bagi memancing undi rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cadangan Pakatan Harapan untuk mengatasi masalah air misalnya tidak dapat direalisasikan dalam tempoh 100 hari sekiranya menerajui pentadbiran kerajaan negeri ini.

"Apa yang mereka kemukakan itu bukan manifesto tetapi hanya bersifat populis semata-mata untuk diberikan kepada rakyat, sebab itu siap letak jumlah hari kononnya boleh selesaikan masalah yang ada dalam tempoh yang singkat.

"Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sendiri tahu masalah air ini tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat kerana perlu menerusi beberapa tahap seperti penyediaan tempat takungan, pemprosesan dan penyaluran air yang mengambil masa beberapa tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai 10 janji manifesto Pakatan Harapan yang akan dilaksanakan dalam masa 100 hari yang dibacakan oleh Penasihat PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, pada majlis pelancaran manifesto tersebut di Bukit Jenun, Pendang, semalam.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata rakyat perlu mendapatkan penjelasan dan melihat cara dan kaedah yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menyelesaikan masalah seperti menghapuskan tol dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Kita kena tengok cara dan bagaimana ia hendak dilaksanakan sebab bagi janji memang senang tapi macam mana nak selesaikannya. Lain macam BN yang mempunyai hala tuju yang jelas mengikut apa yang telah, sedang dan akan dilaksanakan untuk masa hadapan.

"Mereka nak hapuskan GST tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak setuju dengan cadangan itu tetapi dia terpaksa akur dan bersetuju juga kerana ia merupakan arahan daripada DAP," dakwa beliau.

-- BERNAMA