PBDS baru bertanding di lima kerusi parlimen

Sumber gambar: pbdsbaru.com
KUCHING, 21 April 21 (Bernama)-- Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) akan hanya bertanding di kerusi majoriti Dayak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, kata pengarah pilihan raya parti itu Rapelson Richard Hamit hari ini.
Beliau berkata parti itu akan memberi tentangan kepada Barisan Nasional (BN) di lima kerusi Parlimen yang telah dikenalpasti.
Parti itu mengintai kerusi Mas Gading, Puncak Borneo, Sri Aman, Lubok Antu dan Selangau dan telah mengumumkan bakal calon terdiri daripada presiden parti, Cobbold John bagi kerusi Sri Aman, timbalan president Patrick Anak Uren (Mas Gading), ketua wanita Sylvia John (Selangau) dan anggota majlis tertinggi ,Johnny Chuat bagi kerusi Lubok Antu. Calon bagi Parlimen Puncak Borneo akan diumumkan pada hari penamaan calon.
PBDS Baru adalah sebuah parti pembangkang di Sarawak yang berasaskan Dayak
"Kami amat menghargai sekiranya STAR akan bertanding di kerusi lain terutama yang bukan majoriti Dayak bagi memberi laluan kepada PBDS Baru untuk menghadapi BN satu lawan satu," kata Rapelson.
Beliau juga menafikan dakwaan kononnya calon bukan Dayak akan menggunakan lambang PBDS pada PRU14 nanti.
"PBDS Baru adalah parti berasaskan Dayak dan tidak akan sekali-kali membenarkan mereka yang bukan Dayak menggunakan lambang parti kami."
"Ada permintaan pihak tertentu (bukan dayak) tetapi kami tolak. PBDS Baru adalah platfom bagi masa depan kaum Dayak, tanpa mengira agama dan status quo asalkan anda adalah suku kaum asal," katanya Rapelson.
Raphelson berkata parti ini bukan kepunyaan entiti yang tunggal tetapi kepunyaan setiap anggotanya.
-- BERNAMA