Calon BN Perak lepasi saringan - Zambry





IPOH, 21 April (Bernama) -- Semua calon Barisan Nasional (BN) Perak dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) telah melepasi pelbagai saringan kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata saringan itu termasuk Jabatan Insolvensi Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Kami perlu memastikan setiap calon perlu melepasi saringan ini termasuk status bankrap, saringan jenayah dan juga kes yang akan dihadapkan ke mahkamah."

"Senarai calon BN Perak sudah selesai. Kami menanti pengesahan akhir Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak). Kami berharap ia dapat diumumkan tidak lama lagi," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Manifesto BN Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Zambry menyarankan agar semua komponen parti BN terus menyokong calon BN yang bakal bertanding.

"Sesiapa sahaja yang menjadi calon, mereka adalah calon BN. Kami sudah buat kesepakatan yang baik dalam kalangan pimpinan komponen BN. Jangan ada pihak membuat anggapan apabila sesuatu kerusi ditandingi oleh parti lain. Sebaliknya ia adalah keputusan bersama untuk memastikan BN mencatat kemenangan pada PRU14 ini," katanya.

Zambry turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan BN kerana memberi kata putus dan membuat keputusan calon yang bakal bertanding.

Ditanya sama ada berlaku perubahan kerusi di beberapa kawasan, Zambry enggan mengulas lanjut sambil berkata ia akan dimaklumkan pada majlis pengumuman calon.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN. Pada PRU13, BN menang 31 kerusi, DAP (18) manakala PKR dan PAS masing masing memenangi lima kerusi.

PAS bagaimanapun kehilangan satu kerusi apabila ADUN Changkat Jering Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Bagi kerusi Parlimen, BN memenangi 12 kerusi, DAP (tujuh), PKR (tiga) dan PAS (dua).

DAP hilang satu kerusi apabila calonnya, Dyana Sofya Mohd Daud tewas kepada Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014.

-- BERNAMA