Manifesto BN Perak tetap utamakan golongan muda





IPOH, 21 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Perak bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah inklusif dengan mengambil kira semua golongan khususnya orang muda yang turut menjadi keutamaan dalam setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan BN.

Ketua Pemuda UMNO cawangan Manjung Point Mohd Faiz Mazlan, 32, berkata manifesto itu menunjukkan kerajaan BN tidak meminggirkan orang muda malah menyediakan pelbagai inisiatif demi kemajuan mereka.

"Anak muda memang dihargai kerajaan kita. Saya tak nampak lagi kerajaaan lain yang memberi kelebihan kepada golongan muda - manifesto Pakatan Harapan pun lebih menekankan ke arah 'copy and paste' manifesto BN.

"Ini satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh golongan muda di Perak, dari segi manifesto kita lihat banyak peruntukan untuk anak muda," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran manifesto BN Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MCA Perak Datuk Mah Hang Soon berkata manifesto BN Perak memperlihatkan kepada kesinambungan dari segi gerak kerja BN yang telah dirancang dengan begitu rapi selama lima tahun.

"Manifesto yang kita lihat begitu mengambil kira pelbagai kaum dan agama, sudah pasti manifesto ini akan jadi manifesto bukan sahaja diterima baik malah disayangi dan disukai rakyat. Dengan adanya pelancaran ini (manifesto) saya pasti rakyat di negeri ini akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan atau kerajaan BN pada pilihan raya umum nanti," katanya.

Ketua Wanita BN negeri, Datuk Rusnah Kassim pula berkata kerajaan BN sentiasa membuka ruang dan menyediakan pelbagai peluang kepada golongan wanita untuk terus maju menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

Katanya, ini dapat dilihat apabila Manifesto BN Perak bagi PRU14 meletakkan golongan itu sebagai kelompok paling utama yang akan diberi perhatian.

"Wanita merupakan tulang belakang kepada pembangunan sesebuah negara dan masyarakat, sekiranya mereka dipinggirkan, sudah pasti usaha untuk kemajuan tidak dapat dilaksanakan seperti yang dikehendaki," katanya.

-- BERNAMA