Kelab media Kelantan anjur kempen 'ambo Benci Berito Blawok'.
KOTA BHARU, 21 April (Bernama) -- Lambakan berita palsu khususnya yang disebarkan melalui media sosial mengundang pihak Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menganjurkan kempen 'Ambo Beci Berito Blawok'.
Kempen tersebut yang mendapat kerjasama Kelab Belia Kelantan, Kolej PolyTech Mara (KPTM) dan Angkatan Generasi Melayu Muda, dirasmikan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Rozilan Salleh di Lembah Sireh di sini, hari ini.
Seramai 200 peserta berkonvoi dengan menaiki 33 kenderaan ke beberapa kawasan di sekitar Kota Bharu bagi mengedarkan risalah berkaitan bahaya berkongsi berita tidak benar dan mengagihkan akhbar secara percuma kepada orang ramai.
Rozilan yang ditemui pemberita mengucapkan tahniah kepada Kemudi kerana mengambil pendekatan lebih ke depan dalam menangani isu berita tidak benar.
Beliau menyifatkan Kemudi antara kelab media yang paling aktif di negara ini terutamanya dalam isu tersebut.
"Amat penting menerima berita benar apatah lagi masa sekarang amat banyak berita tidak benar diperoleh melalui media sosial. Sebagai pengguna kita kena semak dulu kesahihan berita sebelum dihantar atau viralkan kepada orang lain," katanya.
Beliau berharap kempen tersebut dapat membuka mata banyak pihak berhubung perkara berkenaan dan kesannya kepada masyarakat.
"Pemimpin politik termasuk Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kaum keluarga sendiri tidak terkecuali menjadi mangsa fitnah dan dikecam," katanya.
Sementara itu, Presiden Kemudi Azran Fitri Ab Rahim berharap kempen tersebut dapat mendidik masyarakat mengenai bahaya penyebaran berita tidak benar.
Beliau berkata bagi menangani isu itu kerajaan sudah meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan orang ramai perlu mengelak daripada melakukan kesalahan berkenaan.
-- BERNAMA