DAP sanggup korbankan prinsip demi politik - Abdul Rahman Dahlan

SEPANGGAR, 21 April (Bernama) -- DAP sanggup mengorbankan semua prinsipnya, termasuk menentang kebenaran, semata-mata untuk kepentingan politiknya, kata Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata DAP dalam keadaan terdesak sehingga tergamak menggugurkan seorang pemimpin veterannya daripada dicalonkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"DAP tidak boleh terima kenyataan kalau ada pemimpinnya yang menyatakan kebenaran."
"DAP sebuah parti cauvinis, sebuah parti yang rasis dan mengambil kesempatan untuk kepentingan politik. Tidak ada nilai dan integriti dalam perjuangan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 anjuran Yayasan Destini Anak Bangsa di sini hari ini.
Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengulas keputusan DAP menggugurkan penyandang kerusi Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, 75, yang menjadi anggota Parlimen kawasan itu selama lapan penggal.
Penyandang kerusi Parlimen Segambut Lim Lip Eng pula diumumkan sebagai calon baharu DAP di kawasan berkenaan untuk bertanding pada PRU14 ini.
Walaupun Dr Tan berpihak kepada pembangkang, namun Abdul Rahman memuji pemimpin pembangkang veteran itu yang sering mengiktiraf kebenaran sesuatu fakta.
"Kadang-kadang bukannya dia (Dr Tan) tidak pernah menghentam Barisan Nasional (BN). Tetapi ada ketikanya, dia juga tidak boleh berbohong," katanya.
Dilaporkan Dr Tan didakwa tidak disenangi pucuk pimpinan DAP kerana pada 2016, ketika menjadi timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, beliau telah menyatakan tiada bukti untuk mensabitkan Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Tan juga mengkritik kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP berhubung pengurusan alam sekitar di negeri itu.
-- BERNAMA