Beri mandat lagi kepada BN - Razali





MUAR, 21 April (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim meminta rakyat supaya terus memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 9 Mei ini demi masa depan negara.

Beliau berkata pada hari pengundian itu, mereka perlu membuat pemilihan dengan betul dan bukan amarah akibat dipengaruhi pembangkang.

"Berfikirlah dahulu mengapa tidak mahu memilih kerajaan sedia...fikirkan apa akan terjadi pada masa depan negara jika tidak lagi ditadbir BN," katanya berucap ketika majlis penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Parlimen Muar kepada 595 nelayan yang melibatkan sejumlah RM173, 550 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Johor Barat Mohd Farid Sharif.

Dalam pada itu, Razali yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar berkata BN memberi komitmen 100 peratus bagi memastikan golongan nelayan negara ini dapat menjalankan aktiviti mereka dengan selesa.

Antaranya ialah elaun sara hidup nelayan secara bulanan sebanyak RM300 setiap nelayan di negara ini yang diberikan sejak 10 tahun lalu.

\"Kerajaan memperuntuk RM120 juta setahun bagi memberi keselesaan hidup kepada nelayan, ini bermakna RM12 juta sebulan tanpa gagal dibayar kepada nelayan seluruh Malaysia," katanya sambil memberitahu nelayan juga diberi subsidi diesel bagi memudahkan aktiviti menangkap ikan di laut.

Semua ini membuktikan bahawa Malaysia ditadbir dengan baik oleh BN, katanya.

-- BERNAMA